Skip to main
Logo Malaysiakini

DOJ dapatkan semula AS$60 juta dari Riza Aziz

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berjaya mendapatkan semula AS$60 juta (RM249 juta) setelah mencapai penyelesaian dalam kes pelucutan sivil ke atas aset yang diperoleh oleh Riza Aziz menggunakan dana yang dikatakan diseleweng daripada 1MDB.

Dana terbabit diperolehi daripada pengubahan wang haram menerusi institusi kewangan di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Luxembourg.

“Aset-aset ini dianggarkan bernilai lebih AS$60 juta dan dengan penyelesaian ini, bersama dengan pelupusan kes-kes pelucutan berkaitan sebelum ini, AS telah mendapatkan atau membantu mendapatkan semula hampir AS$1.1 bilion (RM4.6 bilion) aset yang dikaitkan dengan rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB,” kata DOJ dalam satu kenyataan.

Aset-aset yang dilucutkan dalam penyelesaian ini adalah tambahan kepada lebih AS$1 bilion aset yang sebelum ini disita berkaitan siasatan 1MDB oleh DOJ, yang dikatakan terbesar setakat ini di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi.

“Seperti dakwaan di dalam aduan pelucutan itu, Riza Aziz dan lain-lain, secara bersama telah mengubah secara haram berbilion dolar yang dicuri daripada 1MDB, satu dana pelaburan yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” kata pemangku penolong peguam negara AS, Brian C Rabbitt dari Jabatan Jenayah DOJ.

“(Riza) Aziz dan rakan komplotnya dikatakan mengalihkan dana ini untuk kepentingan peribadi mereka dan menggunakannya untuk memperoleh hartanah mewah di New York dan London dan membuat pelaburan peribadi.

“Pelucutan aset-aset ini akan menjadi tambahan kepada hampir AS$1.1bilion yang dicuri dari 1MDB, yang telah DOJ AS bantu untuk dapatkan semula setakat ini dan dipulangkan kepada rakyat Malaysia,” tambah Rabbitt.

“Pelucutan ini memberikan isyarat jelas bahawa jabatan ini tidak akan membenarkan penjenayah mempergunakan sistem kewangan AS untuk mengubah hasil aktiviti haram mereka”.

Tindakan undang-undang diteruskan

Peguam AS Nick Hanna dari Central District of California berkata tindakan undang-undang akan diteruskan bagi merungkai skim pengubahan wang haram dan penyelewengan besar-besaran yang mencuri dana awam milik Malaysia itu.

“Hartanah mewah yang telah dirampas dan dilucutkan di seluruh negara menunjukkan komitmen kami untuk menghalang pelaku korup daripada mempergunakan AS sebagai tempat menyembunyikan kekayaan yang dicuri,” kata Hana.

Pada Mei, Riza, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk lima pertuduhan jenayah kerana didakwa menerima hasil haram daripada dana 1MDB.

Penerbit ‘The Wolf of Wall Street’ dan ‘Dumb and Dumber To’ itu didakwa tahun lalu di Malaysia kerana dituduh menerima sejumlah AS$248 juta (RM1 bilion) antara 2011 dan 2012.

Riza dituduh melakukan kesalahan itu dengan menerima wang menerusi akaun bank Red Granite, syarikat penerbitan Hollywood yang dia asaskan bersama.

Pelepasan itu bagaimanapun bergantung pada pematuhannya terhadap persetujuan yang dicapai dengan pihak pendakwaan, antara lain, memulangkan anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta) kepada kerajaan Malaysia.

Najib sendiri dihukum bersalah atas tujuh dakwaan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan skandal itu dan dihukum 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

Najib yang sedang menunggu proses rayuan berhubung keputusan berkenaan, kini berdepan lebih banyak tuduhan berkaitan 1MDB.

‘Skim keji’

Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Jenayah FBI Calvin Shivers berkata kes di AS itu menunjukkan usaha siasatan yang “signifikan” oleh Pasukan Korupsi Antarabangsa FBI dan rakan-rakannya.

“Riza dan rakan komplotnya menyeleweng dan melakukan pengubahan wang haram berbilion dolar daripada rakyat Malaysia untuk kepentingan peribadi mereka, dan mereka tidak akan dibiarkan mendapat keuntungan (daripada perbuatan itu).

“FBI komited untuk membawa semua yang terlibat dalam skim keji ini ke muka pengadilan dan membuat mereka bertanggungjawab atas perbuatan haram itu,” katanya.

Berdasarkan aduan pelucutan sivil itu, dari 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion dana milik 1MDB dikatakan telah diseleweng oleh pegawai tinggi 1MDB serta rakan mereka melalui pengubahaan wang haram menerusi institusi kewangan di bawah bidang kuasa pegawai awam Malaysia dan rakan-rakan mereka, termasuk Aziz.

Di bawah terma penyelesaian itu, penuntut dalam tindakan pelucutan AS bersetuju melucutkan semua aset, bergantung kepada aduan pelucutan yang masih berjalan yang mana mereka mempunyai potensi kepentingan.

Penuntut turut dikehendaki bekerjasama dan membantu DOJ dalam pemindahan, pengurusan dan pelupusan aset-aset yang berkaitan.

Aset yang tertakluk kepada persetujuan penyelesaian itu termasuklah hasil jualan sebuah hartanah mewah di Beverly Hills serta satu kondominium mewah di New York; hasil jualan pelaburan oleh Riza di sebuah syarikat penyelenggaraan di Kentucky; sebuah rumah bandar mewah di London; dan poster promosi untuk filem motion picture ‘Metropolis’ pada tahun 1927.