Skip to main
Logo Malaysiakini

Kumpulan pekebun durian nafi 300 setuju skim pengesahan pendudukan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

NGO Save Musang King Alliance (Samka) menafikan bahawa kira-kira 300 pekebun durian di Raub bersetuju menandatangani kontrak untuk skim pengesahan pendudukan tanah dengan Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP).

"Berkenaan dakwaan RPDR-PKPP bahawa sekitar 300 pekebun bersedia menandatangani kontrak manakala 133 daripadanya telah membayar Wang Perolehan sebanyak RM1,000 (seekar) kepada syarikat itu, Samka mengatakan RPDR-PKPP berbohong kepada orang ramai," kata Samka dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka berkata, 300 petani yang dikatakan telah mendaftar dengan syarikat berkenaan, seperti yang didakwa oleh RPDR-PKPP hanyalah pekebun yang telah menghadiri taklimat tersebut dan mendaftarkan diri sebelum taklimat dengan proses pendaftaran biasa.

Sementara itu, pekebun yang melakukan "pembayaran" sama sekali tidak menandatangani kontrak, kata mereka, tetapi hanya ingin membeli permit kemasukan untuk memasuki ladang mereka.

"Ini kerana RPDR-PKPP menggunakan notis yang dikeluarkan oleh pejabat tanah pada 24 Ogos untuk mengancam para pekebun dengan mengatakan bahawa hanya mereka yang telah membeli permit kemasukan dibenarkan memasuki kebun durian mereka selepas 24 Ogos.

"Akibat tekanan besar dari syarikat, beberapa pekebun terpaksa membeli apa yang disebut 'permit keamasukan' dengan harga RM1,000 per ekar tanah mereka.

"Namun demikian, ini sama sekali tidak menunjukkan bahawa para pekebun bersetuju dengan syarat dan bersedia menandatangani kontrak yang diekploitasi dan tidak adil yang ditawarkan oleh RPDP-PKPP,” kata Samka.

Mereka berkata apabila pekebun berkenaan melakukan pembayaran, RPDP-PKPP berjanji akan mengembalikan sepenuhnya wang tersebut sekiranya para pekebun menolak untuk menandatangani perjanjian tersebut.

"Mekanisme penebusan ini membuktikan bahawa RPDP-PKPP mengakui bahawa pekebun tidak menandatangani kontrak, tetapi hanya membayar 'permit kemasukan'.

"Namun, RPDP-PKPP sekarang memberitahu pihak media bahawa pekebun telah menyetujui syarat-syarat dalam kontrak, walaupun faktanya mereka hanya membuat pembayaran untuk keizinan masuk," katanya.

Untuk menghentikan eksploitasi terhadap pekebun yang telah membeli permit kemasukan berkenaan, Samka berkata mereka telah melancarkan kempen dan menggesa pekebun yang telah membeli permit berkenaan "secara rela atau kerana dipengaruhi' supaya bersatu hati.

Samka juga meminta RPDP-PKPP  membayar balik semua pembayaran yang dibuat bagi permit kemasukan tersebut bagi mengelakkan pekebun berkenaan dieksploitasi oleh syarikat terbabit.

Selain itu Samka juga mendakwa RPDR-PKPP berada dalam "keadaan kewangan yang goyah dan berbahaya", berdasarkan laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Samka mendesak RPDP-PKPP berhenti mengorbankan semua pekebun dengan menawarkan kontrak yang diekploitasi dan tidak adil, hanya untuk kepentingan sendiri bagi menyelamatkan syarikat yang goyah dan memaksimumkan keuntungannya," kata mereka.

Mereka juga menjawab dakwaan RPDP-PKPP bahawa levi sebanyak RM6,000 seeekar hanyalah bayaran untuk sekali sahaja bagi tahun 2020, dengan mengatakan bahawa syarikat itu belum menjelaskan tujuan bayaran seperti itu, yang kini dilihat seperti strategi melakukan penyewaan.

RPDR-PKPP semalam berkata sekurang-kurangnya 300 pekebun durian telah mendaftar dengan dengan syarikat itu dan menolak dakwaan bahawa tiada pekebun yang menyokong skim pengesahan pendudukan tanah.

Syarikat itu juga menjawab kebimbangan yang ditimbulkan pekebun mengenai kedudukan kewangannya, dengan mengatakan ia sebenarnya merujuk kepada Royal Pahang Durian Produce Sdn Bhd (RPDP) iaitu pemilik ladang durian seluas 400 hektar di Tras, Raub.

“Liabiliti yang ditunjukkan adalah jumlah hutang kepada pemegang saham yang telah menyuntik dana persendirian kepada syarikat sebagai pinjaman dengan tempoh matang selama enam tahun. Justeru, syarikat berkenaan masih belum mempunyai hasil jualan dan pendapatan,” jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail memberi amaran bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan pekebun yang menduduki tanah secara haram.

[Baca berita asal]