Mahathir dakwa BN sogok pengundi pada PRK Slim
Pengasas Parti Pejuang Tanah Air(Pejuang), Dr Mahathir Mohamad mendakwa berlaku banyak sogokan wang dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Slim, baru-baru ini.
Mahathir berkata, meskipun Pejuang sudah menjangkakan mereka akan kalah dalam PRK itu namun bekas perdana menteri itu menegaskan mereka tidak menjangkakan jumlah undi yang diperolehi agak teruk.
Menurutnya, Pejuang hanya mampu memperoleh lebih 2,000 undi sedangkan berdasarkan jangkaan awal, Pejuang seharusnya mampu memperoleh lebih 4,000 undi.
“Kita punya kira-kira, kita patut dapat 4,000 undi, kita tak dapat angka itu. Setelah kita kaji dan kita dapati bahawa kegunaan wang sogokan amat berleluasa.
“Ramai orang yang kata ada bayaran yang mereka dapat. Ada yang dibawa dengan bas ke tempat pengundian, mereka dibayar duit atas bas, ada yang dibayar duit atas van,.
"Kali pertama mungkin mereka dibayar RM100, setelah tunjuk mereka memilih BN, mereka akan dapat lagi baki RM150," katanya.
Mahathir berkata demikian pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.
Hadir sama anggota Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir, anggota Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, Senator Marzuki Yahya dan anggota Sri Gading, Shaharudin Salleh.
Dakwa Mahathir, semua insiden itu menunjukkan berlakunya penipuan secara besar-besaran dalam pilihan raya itu.
“Tetapi kalau kita nak bagi cukup bukti kepada SPR, kalau mereka tak nampak betul-betul, tak terang-terang orang itu confess (mengaku) ke apa, mereka (SPR) tak ambil berat,” ujarnya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Umno dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan dakwaan itu.
Portal ini juga sedang mendapatkan pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada terdapat laporan dibuat kepada mereka dan status semasa siasatan.
BN berjaya mengekalkan kerusi Dun Slim apabila calonnya, Mohd Zaidi Aziz berjaya memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti 10,945 undi.
Ia sekali gus menewaskan dua lagi dua bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Pejuang dan seorang lagi calon bebas, S.Shantarasekaran.
Mohd Zaidi memperoleh undi sebanyak 13,060 undi sementara Amir Khusyairi memperoleh sebanyak 2,115 undi.
S Shantarasekaran hanya mampu berpuas hati dengan 276 undi, sekali gus menyaksikannya hilang wang deposit.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai