Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM: Covid-19 menular dari lokap ke penjara di Lahad Datu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia merekodkan 14 Covid-19 baru dalam tempoh 24 jam setakat tengah hari ini, yang mana sepuluh daripadanya merupakan penularan tempatan.

Sebilangan besar penularan tempatan adalah sebahagian daripada Kluster Benteng LD di Lahad Datu, Sabah, yang terdiri daripada dua warganegara Malaysia dan empat warga asing.

Kumpulan itu pertama kali dilaporkan pada 1 September di antara tahanan di lokap polis di Lahad Datu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam kes baru untuk Kluster Benteng LD hari ini dikesan di Penjara Tawau.

"Hasil siasatan lanjut kluster mendapati satu kes positif Covid-19 yang melibatkan seorang banduan di Penjara Tawau, Sabah (iaitu kes ke-9351 yang dilaporkan pada 1 September 2020) berkait rapat dengan kluster ini.

"Beliau mempunyai sejarah dimasukkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi perbicaraan sebutan kes, di mana beliau didapati mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-9344 dan kes ke-9345) .

"Enam kes baru yang dilaporkan hari ini telah dikesan di Penjara Tawau. Empatdaripada kes tersebut turut mempunyai sejarah ke IPD Lahad Datu serta mempunyai kontak rapat dengan kes indeks.

"Mereka telah balik ke Penjara Tawau pada 28 Ogos 2020 dan seterusnya menjangkiti dua lagi banduan baru di Penjara Tawau. Kesemua kes positif baru ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau," kata beliau pada suatu kenyataan hari ini.

Sementara itu, di Kedah, empat kes baru dilaporkan.

Tiga dari kes baru adalah dari kelompok Tawar, sementara satu lagi dari kelompok Telaga.

Kluster Tawar dihubungkan dengan upacara pengkebumian yang diadakan di Baling pada 31 Julai dan 1 Ogos, manakala Kluster Telaga pertama kali dikesan apabila seorang pekerja kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah diuji positif Covid-19 walaupun jangkitan tersebut dipercayai berlaku di dalam komuniti.

Dua kes baru juga dilaporkan dalam Kluster Bunga, yang terpencil di kalangan anak kapal sebuah kapal di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mereka diklasifikasikan sebagai kes import berasal dari Singapura, dengan enam kes dalam kluster itu setakat ini.

"Sehingga kini, terdapat empat (4) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga (3) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes," jelas Dr Noor Hisham lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.