Skip to main
Logo Malaysiakini

Mayat bergelimpangan di luar masjid - Mangsa warga M'sia serangan NZ

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah New Zealand pada minggu lalu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap warga Australia, Brenton Tarrant, 29 yang mengaku salah atas pertuduhan membunuh 51 orang, cubaan membunuh 40 orang lain dan satu tuduhan keganasan.

Tarrant merupakan individu pertama yang menerima hukuman penjara seumur hidup tanpa parol di negara itu atas kes pertama sabitan jenayah keganasan di New Zealand.

Ketika perbicaraan mahkamah minggu lalu, lebih 90 saksi memberi keterangan, termasuklah dua warga Malaysia, Che Ta Mat Ludin dan Rahimi Ahmad.

Hakim Mahkamah Christchurch Cameron Mander ketika membuat keputusan menyifatkan tindakan Tarrant sebagai "tidak berperikemanusiaan, berkata "tertuduh tidak menunjukkan belas ehsan" dalam serangan pada Mac tahun lalu yang mengejutkan dunia.

"Jenayah kamu sangat kejam bahkan jika kamu ditahan sehingga kamu mati pun, ia tidak akan menghabiskan syarat hukuman," kata hakim pada 27 Ogos lalu.

Pada hari terakhir perbicaraan selama empat hari, dari 24 ke 27 Ogos lalu, hakim Mander menghabiskan hampir satu jam untuk mengingatkan Tarrant mengenai setiap korban yang telah dibunuh dan dicedera tertuduh.

Trauma mangsa, igauan mimpi buruk

Perbicaraan hukuman bermula pada hari Isnin, dengan sebahagian besar dari tiga hari pertama dikhaskan untuk mendengar keterangan dampak kejadian serangan daripada mangsa.

Lebih 90 orang, termasuk korban ahli keluarga dan mangsa yang cedera bercakap dalam perbicaraan sabitan hukuman terhadap lelaki bersenjata yang bertanggungjawab atas serangan pengganas yang paling kejam di New Zealand.

Saksi-saksi menjelaskan bagaimana serangan itu mengubah hidup mereka selama-lamanya.

Berikut pernyataan dampak kesan serangan daripada dua warga Malaysia Che Ta dan Ramli, yang dipetik daripada laporan The Guardian.

Che Ta Mat Ludin:

Saya bersembunyi di bilik stor ruang solat muslimah bersama wanita lain. Saya berbaring di lantai, tersepit di bawah susunan kerusi.

Ketika bunyi tembakan semakin kuat, seolah-olah semakin dekat dengan bilik, saya menutup kepala dengan tangan saya.

Saya berulang kali menyuruh wanita-wanita itu berdoa dalam senyap kerana saya khuatir lelaki bersenjata itu dapat mendengar dan menemui kami di bilik stor itu. Saya tetap berada pada kedudukan itu sehingga lah polis masuk dan membenarkan kami keluar.

Di luar masjid, saya melihat mayat bergelimpangan di atas jalan.

Kesan serangan penembakan itu, saya pulang ke Malaysia. Saya berasa tidak selamat di Christchurch. Kejadian itu merosakkan kepercayaan saya, menjadikan saya tidak percaya kepada orang lain.

Fikiran saya berulang kali memikirkan mengenai peristiwa itu, trauma, perasaan curiga dan rasa tidak selamat. Penembakan besar-besaran ini mengganggu fikiran saya.

Bagi ramai orang, New Zealand selalu menjadi tempat yang selamat, mesra dan menakjubkan melangkaui kaum, warna kulit dan agama.

New Zealand telah menjadi negara yang saya banggakan, sebuah negara yang memupuk budaya penyayang dan saling hormat-menghormati. Warga Kiwi selalu menjadi orang yang baik hati dan saya yakin mereka akan tetap begitu."

Rahimi Ahmad: 

Peluru itu menembusi ke saraf tunjang saya dan serpihan peluru tersebar di bahagian bawah belakang tubuh saya. Saya dapat mengingati setiap saat penembakan itu.

Pakar bedah saya memberitahu saya akan memerlukan banyak masa untuk dapat berjalan seperti sedia kala lagi tetapi kemungkinan besar saya akan terus mengalami sakit pada saraf belakang sepanjang hayat saya.

Saya merasa bersalah kerana saya membawa anak saya (berusia 10 tahun) ke masjid itu pada hari itu dan saya menyalahkan diri saya kerana dia telah mengalami apa yang berlaku.

Saya bimbang bagaimana kejadian ini akan memberi kesan kepadanya untuk sepanjang hayatnya dan juga kesejahteraan mentalnya.

Saya masih mengalami imbas kembali peristiwa itu. Saya hanya kembali ke masjid Deans Avenue sekali selepas serangan tembakan itu.

Tetapi saya tidak dapat kembali lagi kerana ia hanya menyebabkan mimpi buruk dan isteri saya berkata saya mengigau ketika tidur, menjerit pada waktu malam.

Saya risaukan jiwa anak saya. Dia sering mengalami mimpi buruk sekarang dan tidak dapat tidur malam sekitar empat bulan selepas kejadian serangan itu. Pada mulanya dia memendam perasaannya.

Tetapi bayangan imbasan kembali melihat saya ditembak dan yang lain mati di sekeliling saya. Ia membuatkan saya menangis memikirkannya. Dia telah kehilangan zaman kanak-kanaknya dan kepercayaan untuk hidup dengan selamat di New Zealand.