Maruah pengundi Slim tak boleh dijual beli, kata Asyraf
Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tidak wajar untuk menghina pengundi PRK DUN Slim dengan dakwaan mereka dibeli BN bagi memastikan kemenangan parti itu.
Asyraf memberitahu Malaysikini maruah pengundi tidak boleh dijual beli dengan wang sogokan.
"Pengundi Slim punya maruah dan harga diri. Tidak wajar pengundi Slim dihina seolah-olah maruah mereka boleh dijual beli dengan wang sogokan.
"Apakah Tun (Mahathir) juga mahu memberikan mesej bahawa enam PRK terdahulu juga pengundi-pengundi turut disogok kerana memberi undi kepada BN," soalnya.
Asyraf berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengasas parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Dr Mahathir Mohamad hari ini dilaporkan mendakwa berlaku banyak sogokan wang dalam pengundian PRK Slim baru-baru ini.
Menurut Mahathir, perkara itu didapati selepas mengkaji faktor kekalahan calon Pejuang pada PRK Dun Slim.
"Kita dapati bahawa kegunaan wang sogokan amat berleluasa. Ramai orang yang kata ada bayaran yang mereka dapat. Ada yang dibawa dengan bas ke tempat pengundian, mereka dibayar duit atas bas, ada yang dibayar duit atas van.
"Kali pertama mungkin mereka dibayar RM100, setelah tunjuk mereka memilih BN, mereka akan dapat lagi baki RM150," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata keputusan PRK itu sebelum ini adalah terjemahan suara pengundi Dun Slim.
"Hakikatnya, pengundi menterjemahkan pendirian mereka dalam bentuk undi bahawa mereka tidak mahu lagi politik pecah-belah dan kebencian yang dibawa oleh parti baru atas nama Pejuang.
"Mereka inginkan parti yang bukan sekadar menabur janji tapi tidak ditepati atau parti apabila diberikan peluang berkuasa tapi mengkhianati.
"Enam PRK sebelumnya juga secara konsisten menunjukkan dan memberikan isyarat bahawa rakyat mahukan parti yang punya sejarah membela nasib mereka dan yang paling utama menaruh harapan kepada penyatuan dan permuafakatan baru yang dizahirkan oleh Muafakat Nasional (MN)," tambahnya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan dakwaan itu.
Portal ini juga sedang meminta penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat laporan dibuat dan jika ada, status semasa siasatan.
BN berjaya mengekalkan kerusi Dun Slim apabila calonnya, Mohd Zaidi Aziz berjaya memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti 10,945 undi.
Ia sekali gus menewaskan dua lagi dua calon bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Pejuang dan seorang lagi calon bebas, S Shantarasekaran.
Mohd Zaidi meraih sebanyak 13,060 undi sementara Amir Khusyairi tidak hilang wang pertaruhan apabila memperoleh sebanyak 2,115 undi.
S Shantarasekaran hanya mampu berpuas hati dengan 276 undi, sekali gus menyaksikannya hilang wang deposit.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai