Patriotik itu maknanya pertahankan maruah negara
KATA MP | Kita baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-63 dan tidak lama lagi bakal meraikan Hari Malaysia. Kali ini ia kurang meriah berbanding tahun-tahun lalu dan ia dapat difahami kerana kita masih berdepan ancaman Covid-19.
Namun begitu, semangat patriotisme tetap perlu ditekankan malah lebih wajar diuar-uarkan.
Kini sudah menjadi naratif lazim di mana-mana untuk kita percaya bahawa pegangan yang betul ialah “kita jaga kita”. Tidak ada kumpulan yang menentang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) demi menamatkan rantaian wabak berkenaan.
Kerajaan mahu pun pembangkang juga menyokong penuh dua rang undang-undang berkaitan Covid-19 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini meskipun kelewatannya tetap dipertikaikan.
Soal yang kerap ditanya ialah, apakah kefahaman masyarakat terhadap patriotisme atau patriotik? Apakah ia terkait kepada tindakan simbolik - seperti mengibarkan jalur gemilang, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan beramai-ramai, meletakkan pelekat pada kenderaan, memakai pakaian bercirikan Jalur Gemilang - sebagai apa cara menyatakan kesetiaan kepada negara?
Atau lebih mendalam lagi, apakah patriotisme bermaksud kefahaman dan sikap yang menggambarkan perasaan cinta terhadap tanah air sehingga rela berkorban demi kepentingan bangsa dan negara?
Apakah ia termasuk mempertahankan maruah dan nama baik negara serta mencegah apa jua perbuatan yang boleh menjejas nama baik itu?
Inilah maksud sebenar patriotisme dan mesti diterjemahkan melalui tindakan sama ada simbolik atau perbuatan. Dengan kata lain, semangat berkenaan dicorakkan dengan ciri-ciri yang mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, bukan kepentingan kelompok dan peribadi semata-mata.
Citra pemikiran sempit
Ini jelas dapat dilihat dalam diri petugas barisan hadapan yang tidak kenal erti penat dan rela semasa berkorban.
Dalam hal ini, saya menyambut baik saranan perdana menteri supaya semangat patriotisme disemarakkan sekali gus agenda untuk membina negara dimartabatkan.
Memang benar slogan Malaysia Prihatin amat sesuai dalam keadaan sekarang terutama semasa memerangi wabak Covid-19 di samping untuk memupuk perpaduan, kebersamaan dan keharmonian.
Namun, saya percaya sikap tersebut perlu dibuktikan dan tidak menjadi sekadar retorik semata-mata. Biarlah tekal sama ada sebagai pembangkang atau pemerintah dan tidak diubah suai mengikut selera politik.
Di samping sikap cintakan negara atas dasar keharmonian, saya sarankan supaya rakyat memiliki jiwa yang merdeka, amanah dan tanggungjawab; bukannya membiarkan jiwa terjajah, khianat dan bersembunyi atas kuasa serta kedudukan.
Juga memupuk semangat islah (pembaharuan) kepada sistem, dasar dan urusan negara; bukan citra pemikiran sempit, kuno lagi menjatuhkan di samping berpegang teguh kepada prinsip keadilan, kebebasan dan hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan serta mengamalkannya secara konsisten, bukan mengabaikannya atau mengamalkannya secara terpilih.
Dalam konteks ini, sikap dan ciri-ciri ini sebenarnya sentiasa tercabar. Mengapa? Kerana wujudnya nafsu, kepentingan politik dan peribadi, kepentingan kuasa dan kebendaan serta kepentingan sempit agama dan perkauman.
Saya percaya, rakyat pada umumnya tidak terlalu melampau dalam fahaman agama dan perkauman. Yang sering mengelirukan atau membesar-besarkannya ialah golongan politik yang didorong oleh agenda masing-masing.
Buktinya, ke mana perginya hiruk-pikuk yang mendesak agar Akta 355 dipinda? Ke mana perginya suara orang yang mempertahan tulisan jawi? Ke mana hilangnya suara golongan yang kononnya bimbang hak dan ketuanan Melayu terhakis?
Barangkali suara-suara itu sedang teredam dalam kemabukan kuasa.
Persepsi sempit agama perlu ditangani
Justeru apakah penyelesaiannya? Pada pendapat saya, oleh kerana semangat dan suara itu berunsur politik semata tanpa asas, maka lebih baiklah kita abaikan sahaja mereka.
Sebaliknya wajar ditumpukan kepada perkara yang lebih berasas seperti meneliti pendekatan memperkasakan mahkamah syariah dalam konteks keadilan dan keberkesanan pelaksanaannya.
Juga mengambil sudut pendidikan dan budaya kepada tulisan jawi tanpa perlu mempolitikkannya serta membangkitkan dasar ekonomi bumiputera yang membela nasib orang Melayu tanpa mengetepikan hak kaum lain atas asas keadilan dan kesaksamaan, bukan atas asas kaum semata-mata dan pemikiran terancam.
Rangka dan laksanakan dasar yang benar-benar boleh merapatkan jurang atau kesenjangan ekonomi antara kaum dan wilayah dengan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dinikmati oleh rakyat dengan adil dan saksama.
Ini tidak boleh hanya atas kertas dengan jumlah inisiatif tertentu tetapi wajar dukungi oleh pemimpin di setiap peringkat sehingga angka B40 dan T20 berkurangan.
Soal persepsi Islam yang sempit juga wajar ditangani dengan tuntas. Akibat tindakan dan pandangan yang dikeluarkan oleh segelintir pemimpin PAS terutamanya, amat malang apabila Islam dilihat dari kaca mata yang sempit apabila hanya pendapat ulama dan pemimpin parti itu saja yang dianggap betul.
Sedangkan sewajarnya berlaku ialah untuk kembali menghidupkan rasa kemanusiaan dan mengangkat darjat kemanusiaan itu sebagaimana firman Allah dalam ayat 70 surah al-Isra’.
Tambahan pula, sifat kesejagatan Islam menolak perkauman seperti firman Allah dalam ayat 13 surah al-Hujurat.
Tolak pengkhianatan, rasuah
Ini bukan sahaja boleh menjawab ciri perkauman dalam kalangan orang Melayu tetapi juga yang wujud di kalangan orang Cina, India dan kumpulan etnik lain.
Yang dibenci bukan kaum tetapi tindakan kezaliman, penyelewengan dan penindasan atas nafsu rakus peribadi atau kelompok.
Ini termasuklah meletakkan neraca penilaian yang betul terhadap kesalahan yang dilakukan dalam Islam.
Sebagaimana Islam menjatuhkan hukuman berdosa dalam kegiatan jenayah merompak, membunuh dan mencuri, maka amalan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan wang serta kedudukan juga dianggap berdosa.
Bersekongkol dan bersubahat dengan amalan serta mereka yang terlibat juga boleh jatuh berdosa.
Jadi janganlah berlindung di sebalik alasan bahawa amalan rasuah atau penyelewengan itu boleh disucikan apabila habuan daripadanya disedekahkan kepada anak yatim, masjid dan bakal haji seperti yang disebutkan dalam skandal 1MDB.
Salah tetap salah dan pelakunya wajar menerima hukuman apabila didapati bersalah. Matlamat tidak menghalalkan cara.
Akhirnya, dalam kita menyambut kemerdekaan, semangat Malaysia Prihatin wajar dizahirkan bukan sahaja dengan semangat patriotisme dalam usaha memerangi wabak Covid-19 secara bersama, tetapi juga mengangkat kembali imej negara sebagai negara makmur yang inklusif, progresif, rahmah, berpolitik matang, bersih dan berpaksikan rakyat yang menolak pengkhianatan, rasuah dan penyelewengan.
SYED IBRAHIM SYED NOH ialah anggota parlimen Ledang merangkap pengerusi PKR Johor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai