Skip to main
Logo Malaysiakini

Keluarga Nora Anne pernah terima emel scam minta wang tebusan - Saksi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang saksi prosiding inkues bagi mencari punca kematian Nora Anne Quoirin memaklumkan bahawa keluarga remaja itu pernah mendapat e-mel yang menuntut wang tebusan.

Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Supt Wan Azlan Wan Mamat berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh ACP Nik Ezaner Mohd Faisal yang merupakan pegawai perhubungan kepada keluarga remaja Ireland-Perancis tersebut.

"Beliau memaklumkan keluarga orang hilang ada terima e-mel dan meminta wang tebusan sebanyak dua bitcoin yang bersamaan RM23,000," katanya ketika memberi keterangan pada prosiding yang memasuki hari ketujuh hari ini.

Wan Azlan berkata status mengenai e-mel berkenaan turut diketahui pada malam yang sama selepas menjejaki Internet Protokol (IP) yang menunjukkan ia datang dari Virginia, Amerika Syarikat, dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol).

Sementara itu, saksi ke-13, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) IPK Negeri Sembilan, Supt Lee Kui Lin berkata kertas siasatan kematian Nora Anne telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada 29 Ogos, lebih dua minggu selepas mayat remaja itu ditemukan, 13 Ogos tahun lepas.

"Kertas siasatan yang dihantar memang telah lengkap. Sepanjang siasatan kami, 91 saksi direkod percakapan serta 57 sampel cap jari diambil untuk bantu siasatan dari segi forensik dan patologi ke atas mayat yang ditemui tak ada elemen jenayah sepanjang siasatan kami," katanya.

Prosiding inkues yang berlangsung di hadapan Koroner Maimoonah Aid membabitkan 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di Seremban, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Prosiding inkues bersambung esok.

- Bernama