Skip to main
Logo Malaysiakini

Veveona dihujani komen negatif susulan kenyataan salah timbalan menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kenyataan salah oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin tentang Veveonah Mosibin menyebabkan pelajar Universiti Malaysia Sabah berusia 18 tahun itu dihujani komen negatif di media sosial.

Menyuarakan berkenaan perkara itu di Facebook semalam, Veveonah berkata dia "sedih dan kecewa" dengan apa yang berlaku.

"Saya benar-benar bekerja keras untuk peperiksaan dalam talian beberapa bulan ini. Saya tak pernah jangka ia akan tular.

"Saya tular sekali lagi tetapi dengan kesan buruk. Saya tak tahu bagaimana untuk berdepan komen negatif dan buruk di media sosial. Ia melukakan," katanya.

Dalam hantaran itu, dia turut mengongsikan permohonan maaf Zahidi atas kenyataan salah di Dewan Negara bahawa Veveonah tidak mempunyai sebarang peperiksaan ketika merakamkan video memanjat pokok untuk mendapat capaian internet pada Jun lalu.

Zahidi mendakwa Veveonah berbuat demikian hanya untuk ditularkan serta mengisi kandungan saluran YouTubenya.

Semalam, Zahidi memohon maaf atas kenyataan itu dan berkata mendapat maklumat yang tidak tepat semasa memberikan jawapan di Dewan Negara.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Veveonah menunjukkan jadual peperiksaannya untuk membuktikan dia tidak berbohong.

Dalam hantaran semalam, dia berkata memaafkan mereka yang membuat silap terhadapnya dan menyuarakan penghargaan kepada pihak yang menyokongnya.

Kenyataan Zahidi di Dewan Negara mendapat liputan luas media dan laman tular.

Ia menyebabkan Veveonah menerima kritikan negatif, termasuk dituduh berbohong.

Bagaimanapun sejumlah kawannya di universiti mengongsikan jadual peperiksaan mereka bagi menyokong pelajar tersebut.

Zahidi berkata dia akan mengeluarkan pembetulan di Dewan Rakyat dalam sidang minggu depan.

[Baca berita asal]