Skip to main
Logo Malaysiakini

Tahanan baru lokap polis di Lahad Datu diasingkan, elak Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Semua tahanan baru polis di Lahad Datu termasuk tangkapan melibatkan pendatang tanpa izin akan ditempatkan sementara di lokap Balai Polis Cenderawasih dan Balai Polis Tungku di Felda Sahabat di Lahad Datu, bagi mengawal penularan Covid-19.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata penempatan itu bertujuan mengasingkan tahanan baru dengan tahanan lokap sedia ada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

"Langkah ini juga bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan tahanan lokap seperti terjadi di Lahad Datu sehingga wujud Kluster Benteng LD dan kes di Semporna," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Lahad Datu, hari ini.

Katanya, tahanan baru di dua lokap berkenaan yang tidak dituduh di mahkamah dan pengesahan keputusan ujian saringan Covid-19 negatif, akan dibebaskan dengan persetujuan mahkamah.

"Bagi tahanan (yang tidak dituduh di mahkamah) tetapi belum memperolehi keputusan ujian swab atau belum sampai tempoh 14 hari kuarantin akan dihantar ke pusat kuarantin di Bakapit sehingga keputusan Covid-19 diperoleh," katanya lagi.

Hazani berkata seramai 107 tahanan lokap sedia ada di IPD Lahad Datu yang telah menjalani saringan Covid-19 tidak akan dipindahkan dan proses pertuduhan akan dilakukan di IPD berkenaan.

"Mereka akan ditempatkan di IPD Lahad Datu sehingga mendapat pelepasan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum dihantar ke Penjara Tawau," katanya.

Sementara itu, katanya semua 77 pegawai, anggota dan keluarga polis di IPD Lahad Datu yang menjalani ujian saringan Covid-19 susulan pengesanan kluster itu disahkan negatif jangkitan tersebut.

Sejak kluster tersebut dikesan pada 1 Sept lepas seramai 14 tahanan dikesan positif Covid-19 termasuk enam tahanan Penjara Tawau yang mempunyai sejarah berada ke IPD Lahad Datu.

Terdahulu Hazani yang juga bekas Komander ESSCom menyerahkan tugas kepada penggantinya Datuk Ahmad Fuad Othman, disaksikan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Ramlan Harun.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.