Skip to main
Logo Malaysiakini

Akta industri air, akta kualiti alam wajar dipinda - Khairy

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata akan membawa cadangan meminda Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Kualiti Alam Sekeliling bagi memperuntukan hukuman yang lebih berat kepada pesalah.

Ini berikutan gangguan air di Selangor akibat pencemaran yang dikesan berpunca daripada sebuah kilang di Sungai Gong.

"Wajar kerajaan meminda Akta Industri Perkhidmatan Air (2006) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974) untuk memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang mencemarkan sumber air. Sumber air perlu dilihat sebagai kategori keselamatan negara.

"Akan dibawa ke jemaah menteri," katanya pada ciapan di Twitter hari ini.

Hantaran menteri itu dibalas Adun Kota Anggerik Najwan Halimi yang bersetuju dengan saranan tersebut.

"Setuju. Syor sama telah dikemukakan tatkala saya bahas usul Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Sumber Air Selangor berhuhung Pencemaran Sumber Air Sehingga Menyebabkan Henti Tugas Tidak Berjadual Loji-Loji Rawatan Air Dan Pembekalan Semasa Kecemasan, Julai lalu," kata Najwan.

Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 memperuntukkan mereka yang didapati bersalah mencemarkan sistem bekalan air sehingga menyebabkan kematian manusia boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Untuk rekod, pentadbiran PH pada Januari 2019 telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan dan Pemantauan Pencemaran Sumber Air untuk meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), bertujuan memantapkan aspek penguatkuasaan antaranya berkaitan kuasa menahan orang dan merampas kenderaan yang disyaki mencemarkan lurang kumbahan.

Pada Julai 2019, berlaku gangguan air di Lembah Klang yang dikesan berpunca daripada kejadian pencemaran Sungai Selangor disebabkan minyak diesel dipercayai akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada waktu itu berkata, polis akan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak disyaki terbabit kes mensabotaj serta mencemarkan sungai.

Susulan kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Mac 2019, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan PH akan mengkaji semula keberkesanan undang-undang berkaitan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Setakat ini, Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000.

Sementara itu, Khairy memaklumkan Jabatan Kimia dijangka menyerahkan keputusan analisis sampel air mentah yang tercemar di kawasan Sungai Gong, Rawang kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam masa terdekat.

Katanya, Jabatan Kimia telah menerima sampel sebenar dari kilang yang disyaki melakukan pencemaran itu daripada JAS, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“JAS sedang membuat analisis Sebatian Organik Meruap (VOC) bagi empat sampel yang diterima daripada KKM, analisis VOC Hidrokarbon bagi empat sampel daripada LUAS dan analisis mengenai buangan terjadual bagi sampel JAS.

"Semua ini sedang dianalisis oleh Jabatan Kimia dan saya sudah arahkan mereka mempercepat analisis ini. 

"Sebaik sahaja keputusan diketahui, kita akan serahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut," katanya, lapor Bernama hari ini.