Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO dakwa lelaki mati dalam Penjara Pengkalan Chepa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang banduan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan, meninggal dunia pada 1 Sept lalu didakwa kerana mengalami kecederaan semasa dalam tahanan, kata NGO hak asasi manusia, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict).

Pengarah Eksekutif Edict, Khalid Mohd Ismath, berkata mereka menghubungi keluarga lelaki terbabit selepas adik iparnya berkongsi mengenai kejadian tersebut di laman Facebook.

"Keluarga mangsa mengesahkan kematian tetapi mereka tidak mahu dihubungi melalui telefon sebaliknya hanya melalui messenger di Facebook saja," katanya kepada Malaysiakini.

Khalid juga menyatakan keluarga mangsa enggan dihubungi oleh Edict lagi selepas dinasihatkan agar membuat laporan kepada polis mengenai kematian tersebut.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Edict berkata semasa lelaki terbabit dimasukkan ke penjara berkenaan - kerana kesalahan berkaitan ketum - dia dikatakan dalam keadaan sihat.

"Namun begitu, pihak keluarga terkejut dengan kecederaan yang dialami mangsa selepas berada dalam tahanan.

"Menurut dakwaan adiknya, lelaki tersebut mengalami kecederaan pada bahagian paru-paru, dada dan perut," kata Edict.

Edict turut berkongsi hantaran Facebook yang tular itu dan -- antara lain - mendakwa lelaki berkenaan dimasukkan ke penjara pada Julai tahun ini, dan pihak penjara tidak memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai keadaan mangsa yang kritikal.

Justeru Edict menggesa Jabatan Penjara menjelaskan perkara berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya jika benar ada berlaku penderaan ke atas tahanan berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi Penjara Pengkalan Chepa tetapi diberitahu bahawa tiada pegawai berada di pejabat untuk memberi maklum balas hari ini.

[Baca berita penuh]