Skip to main
Logo Malaysiakini

Berhibur saja di rumah masing-masing, kata Khairuddin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali menyokong kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai operasi pusat hiburan di negara ini.

Kata ulama PAS itu, sebenarnya hanya segelintir saja masyarakat negara ini yang suka berpesta dan mengunjungi pusat hiburan.

Justeru kata Khairuddin memang bagus jika pusat hiburan di negara ini ditutup selama-lamanya.

"Kenyataan PM tepat. Kalau tak buka selamanya pun tak apa.

"Berhibur sahaja di rumah masing-masing bersama rakan dan taulan," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Muhyiddin ketika berucap di Konvensyen Setengah Tahun Perikatan Nasional (PN) di ibu negara pada 1 Sept lalu secara berseloroh berkata, bagus juga jika kelab malam tidak dibuka lagi selamanya.

Ia merujuk kepada proses ekonomi negara yang kini dibuka membabitkan semula hampir kesemua sektor selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ekonomi negara menunjukkan tanda-tanda pemulihan ketika ini.

Ikut suara majoriti

“Yang tak buka hanya kelab malam dan saya fikir kalau tak buka selama-lamanya pun bagus juga kot,” katanya sambil tersenyum.

Dalam penjelasannya, Muhyididin berkata hal itu kerana sukar untuk mengekalkan penjarakan fizikal dengan alasan yang jelas.

Kenyataan Muhyiddin itu bagaimanapun mendapat reaksi kurang senang pemuzik dan pemilik pusat hiburan.

Antara yang meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan Muhyiddin ialah Presiden Persekutuan Industri Hiburan Malaysia Liew Poon Siak dan Felo Penyelidik di Institut Pengajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Adil Johan - yang juga pemain saksofon untuk Orkes Padu Nadir.


Baca Menteri mesti tunjuk teladan baik - Ahmad Shabery


Menurut Khairuddin tidak ada keperluan untuk sesiapa berpesta sehingga mabuk lalu menimbulkan pelbagai masalah lain.

Sebagai negara demokrasi, Khairuddin berkata, Malaysia wajar mengikuti suara majoriti yang menolak operasi kelab malam.

"Ikutlah suara ramai sebagai suara demokrasi majoriti dan minoriti," katanya.