Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenapa geran hak milik tanah adat isu sensitif di Sabah?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PANDUANKINI | Kemelut berhubung hak tanah membabitkan anak negeri Sabah sejak dulu lagi merupakan isu panas di negeri itu meskipun wujudnya perlindungan jelas di dalam undang-undang berhubung hal berkenaan.

Semakin hampir pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan 26 September, maka sekali lagi semakin sensitif isu hak tanah.

Lebih-lebih lagi, Ketua Menteri Sementara Sabah Mohd Shafie Apdal terus menjelajah negeri memberikan geran tanah selepas pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai lalu, sebelum tarikh PRN diumumkan pada 17 Ogos.

Dalam PanduanKini kali ini, Malaysiakini akan menjelaskan jenis-jenis geran tanah untuk anak negeri Sabah dan kenapa ia menjadi perkara yang bersifat politik.

Artikel ini digarap selepas perbincangan bersama Galus Ahtoi, penyelaras program hak tanah di NGO Pacos Trust yang berpengkalan di Penampang.

Ia juga merujuk buku “Native Customary Rights” oleh peguam Nasser Hamid dan Ram Singh, terbit tahun 2012.

Apakah anak negeri Sabah memiliki hak tanah yang unik?

Ya.

Negeri dan wilayah mempunyai bidang kuasa terhadap hal ehwal tanah dan kerajaan Sabah mentadbir perkara ini menggunakan Ordinan Tanah Sabah 1930 (SLO).

Ordinan berkenaan merupakan perundangan yang diwarisi dari era penjajahan Inggeris, menggariskan prosedur khusus buat anak negeri dan bukan anak negeri untuk memohon atau menuntut tanah.

Tuntutan tanah anak negeri akan menjadi fokus PanduanKini ini.

Siapa dianggap sebagai anak negeri Sabah?

Anak negeri merupakan mana-mana individu yang kedua-dua orang tuanya merupakan, atau pernah menjadi ahli masyarakat pribumi di Sabah. Individu itu turut dianggap sebagai anak negeri jika dia tinggal di Sabah sebagai ahli kepada masyarakat pribumi dan mempunyai salah seorang ibu bapa atau leluhur yang merupakan seorang pribumi.

Ini berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Tafsiran (Takrif Anak Ngeri) 1952.

Di bawah seksyen sama, seorang anak negeri turut ditakrifkan sebagai sesiapa yang tinggal di Sabah dan merupakan ahli orang Suluk, Kagayan, Simunul, Sibutu atau Ubian; atau orang pribumi Sarawak atau Brunei. Orang itu hendaklah tinggal dan menjadi ahli dalam masyarakat pribumi untuk tiga tahun berturut-turut sebelum tarikh tuntutan mereka.

Status anak negeri turut merangkumi penduduk Sabah yang merupakan pribumi Indonesia, Kepulauan Sulu (Filipina), Semenanjung Malaysia atau Singapura. Bagi mereka yang membuat tuntutan ini, mereka perlu tinggal dan menjadi ahli masyarakat pribumi Sabah selama lima tahun sebelum tarikh tuntutan.

Penuntut mestilah mempunyai “karakter yang baik” sepanjang tempoh tersebut, dan perlu membuktikan bahawa tempoh mereka berada di Sabah tidak disekat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Tuntutan status anak negeri ditentukan oleh Mahkamah Anak Negeri.

Jadi apa hak unik dimiliki anak negeri Sabah?

Anak negeri Sabah boleh menuntut hak pemilikan tanah di bawah hak tanah adat (NCR).

Seksyen 15 Ordinan Tanah Sabah 1930 (SLO) menyenaraikan tujuh syarat yang boleh digunakan untuk membuktikan tuntutan NCR:

  1. Tanah yang diperoleh daripada pemilikan biasa
  2. Tanah yang ditanam dengan pokok buah-buahan, dengan bilangan pokok melebihi 50 batang sehektar.
  3. Pokok buah-buahan dan sagu, rotan dan tumbuhan lain dengan nilai ekonomi - penuntut perlu dapat membuktikan bahawa pokok-pokok itu ditanam, dijaga, dan selalu dinikmati sebagai harta peribadinya.
  4. Tanah ragut yang penuntut itu bersetuju untuk meletakkan bilangan lembu atau kuda yang mencukupi bagi mengelakkan semak.
  5. Tanah yang diusahakan atau dibina dalam tempoh tiga tahun.
  6. Tanah perkuburan atau tempat keramat.
  7. Jalan laluan biasa untuk orang dan binatang daripada sungai, jalan raya, rumah-rumah atau mana-mana satu daripada yang di atas.

“Pemilikan biasa” ditakrifkan di bawah Seksyen SLO sebagai pemilikan sah tanah oleh anak negeri sama ada dengan mendiami secara berterusan atau mengusahakannya untuk tiga tahun berturut-turut atau lebih; atau melalui pemilikan.

Anak negeri juga boleh menuntut tanah NCR berdasarkan undang-undang biasa.

Apa geran tanah yang boleh dituntut anak negeri di bawah NCR?

Geran pemilikan tanah anak negeri (NT).

NT merupakan geran pemilikan tanah yang spesifik dan dipetakan, yang dianugerahkan kepada individu. Ia memberikan pemilik tanah itu hak milik kekal dan boleh mewariskan tanah tersebut.

NT mesti didaftarkan dengan daftar NT atau daftar lapangan, seperti dalam Seksyen 67 SLO.

NT hanya boleh ditukar milik sesama anak negeri. Bukan anak negeri tidak dibenarkan membeli tanah geran NT, melainkan kerajaan negeri memberikan kebenaran khusus di bawah Seksyen 17 SLO.

Tuntutan NT dibuat kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) di bawah Jabatan Ketua Menteri. Jabatan ini bertanggungjawab mengeluarkan surat ikatan penyerahhakan geran NT.

Jadi kenapa ini satu isu politik?

NT mengambil masa bertahun-tahun untuk diproses oleh JTU memandangkan ia memerlukan tinjauan tanah yang terperinci. Ahtoi berkata bukanlah satu hal yang luar biasa jika seorang anak negeri perlu menunggu berdekad-dekad lamanya untuk mendapat geran tanah mereka.

Dia menyalahkan kekurangan kesungguhan politik dan peruntukan undang-undang untuk melakukan survei tanah ini, kecuali ketika pilihan raya semakin mendekat.

Geran tanah komunal (CT) dicadangkan kerajaan terdahulu sebagai satu penyelesaian segera. Syarat untuk geran seperti itu diperuntukkan di bawah Seksyen 76 SLO.

Tidak seperti NT, CT tidak secara khusus melakar sempadan dan anak negeri tidak mempunyai geran tanah individu. Geran selalunya diberikan kepada ketua manakala anak negeri merupakan “pihak yang mendapat manfaat” (beneficiary) dan bukan pemilik tanah berkenaan.

CT tidak dikendalikan oleh JTU, sebaliknya dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri.

Bagaimanapun, pengalaman Ahtoi bersama masyarakat akar umbi mendapati terdapat salah guna serius sistem CT, yang selalunya berakhir dengan anak negeri dilucutkan hak daripada tanah mereka.

Ahtoi pernah menemukan kes senarai pihak yang mendapat manfaat tanah CT turut mengandungi nama-nama yang bukan pun daripada komuniti setempat.

Selepas pindaan terhadap Seksyen 76 SLO pada 2009 yang membenarkan kerajaan negeri “merancang” CT, dia menerima aduan bahawa kampung-kampung yang tidak memohon CT pun didapati mempunyai tanah itu.

Kawasan di sekitar tanah mereka mereka kemudiannya didapati terlibat dengan perjanjian usaha sama dengan entiti komersial dan dipergunakan untuk perladangan dan pembalakan, tanpa kebenaran mereka.

Menurut Ahtoi, sistem CT menyediakan lompong yang membolehkan proses permohonan lesen pembalakan yang biasanya amat teliti untuk dipintas.

Apa contohnya?

Kampung Bigor di daerah barat daya Nabawan, merupakan satu contoh bagaimana salah faham mengenai tanah CT menyebabkan berlakunya konflik antara masyarakat anak negeri dan kerajaan negeri.

Pada 2013, pemaju menawarkan RM2,000 kepada orang Murut di kampungnya untuk menandantangani satu perjanjian usaha sama bagi membangunkan tanah komunal mereka.

Athoi mendakwa ketika mereka menandatangani perjanjian dalam bahasa Inggeris itu, mereka tidak faham dan menerima duit berkenaan.

Orang-orang kampung kemudiannya terkejut apabila pemaju mula membersihkan sawah padi, pokok buah-buahan dan kebun getah mereka. Komuniti itu kemudiannya terlibat dalam pertengkaran dengan pihak pemaju sehingga membabitkan pihak polis dan beberapa penahanan dibuat.

Macam mana pula hak tanah adat (NCR)?

Menurut Ahtoi, ramai orang tidak sedar akan hak mereka. Katanya, ini sebahagiannya berpunca daripada SLO yang masih belum diterjemah dari bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu sehingga kini - bahasa pertuturan untuk kebanyakan anak negeri.

Dakwanya, JTU sering kali secara prosedur “enggan” mengiktiraf tuntutan NCR meskipun terdapat peruntukan jelas di dalam SLO serta penghakiman di mahkamah yang menjunjung hak tanah adat (NCR).

Sejak itu, Pacos berkempen supaya Seksyen 76 SLO dipinda untuk menghentikan kerajaan negeri akan datang daripada menyalahgunakan CT.

Bukankah kerajaan negeri Warisan berjanji untuk berhenti mengeluarkan CT?

Ya dan janji itu merupakan sebahagian manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-14 mereka.

Ketua Menteri Sementara Sabah Shafie Apdal mula menyerahkan geran anak negeri (NT) pada 2019 dan mempergiat kegiatan penyerahan geran sebegitu sejurus sebelum tarikh PRN Sabah diumumkan.

Bagi Ahtoi, penyerahan geran NT oleh Shafie baru-baru ini merupakan bukti bahawa JTU boleh mempercepat tempoh masa untuk memproses tuntutan geran NT jika ia mahu.

Dia membangkitkan bagaimana bekas ketua menteri Sabah era BN Musa Aman turut menyerahkan 1,000 geran pemilikan NT beberapa hari sebelum PRU-14.

Kerajaan Warisan menyerahkan geran NT sejak Mei lalu. Menurut pejabat ketua menteri, sebanyak 10,686 geran pemilikan tanah anak negeri diserahkan pada setakat pertengahan minggu lepas.

“Lagi 16,000 lot masih diproses … dijangka akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun. CT telah dimansuhkan seperti dijanjikan dalam manifesto Warisan,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Apa-apa pun, Ahtoi menyambut baik langkah itu dan berharap geran NT akan terus diserahkan kepada penuntut yang layak, meskipun ketika bukan musim pilihan raya.

[Baca berita asal]