Laporan, draf RUU tubuh Majlis Media diserah pada kementerian
Draf cadangan rang undang-undang untuk penubuhan Majlis Media Malaysia yang antara lain bagi mendukung dan menggalakkan kebebasan media serta persekitaran perundangan dan pengawalseliaan yang sesuai bagi tujuan itu, telah diserahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia bulan lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Sementara majlis, Premesh Chandran berkata draf rang undang-undang itu serta laporan yang membentangkan penubuhan majlis berkenaan melalui Akta Parlimen, dikemukakan pada 3 Ogos.
Jawatankuasa tersebut akan bertemu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah pada 11 Sept ini untuk membincangkan lebih lanjut mengenai perkara itu.
Premesh berkata jawatankuasa itu juga menjangka beberapa perbincangan akan diadakan dan maklum balas akan diterima mengenainya sebelum majlis tersebut dapat ditubuhkan.
"Apabila cadangan dikemukakan, akan ada mekanisme maklum balas dengan penglibatan Jabatan Peguam Negara dan kementerian lain seperti Kementerian Dalam Negeri yang melibatkan undang-undang semasa (yang berkaitan dengan media).
“Kami menjangka beberapa perbincangan akan diadakan dengan kerajaan, tetapi kami ingin tahu sama ada pada dasarnya kerajaan sekarang menyokong majlis media atau mereka mempunyai pandangan lain," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Laporan dan draf cadangan rang undang-undang itu terbuka kepada orang ramai di mediacouncil.my (versi Bahasa Inggeris) dan majlismedia.my (versi Bahasa Melayu) untuk sebarang pandangan dan ulasan.
Menurut Premesh, cadangan rang undang-undang itu juga mengesyorkan agar semua ahli industri media berhak menjadi anggota selain keahlian juga terbuka kepada orang ramai yang prihatin terhadap media.
"Kami mencadangkan pembentukan sebuah majlis melalui keahlian agar mereka yang menjadi penerbit, pemilik media, pengamal media dan juga mereka di luar media yang mewakili kepentingan umum seperti badan bukan kerajaan dapat menyertai kami," tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai laporan yang dikemukakan itu, Premesh berkata ia juga mengandungi saranan bagi pindaan pemansuhan undang-undang tertentu yang kini menyekat kebebasan media.
"Kami berpendapat bahawa untuk menubuhkan (majlis) media kawalan kendiri, undang-undang tertentu seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dipinda," katanya.
Premesh berkata selain meningkatkan kebebasan media, penubuhan majlis itu juga mempunyai tujuan yang lebih luas, terutama dalam menangani isu-isu mengenai industri secara keseluruhan.
"Selain melihat aspek pengawalseliaan, kita juga perlu menyedari bahawa industri ini menghadapi masalah kewangan dan kita dapat melihat berlakunya banyak pemberhentian kerja serta masalah lain.
"Jadi, untuk kita melindungi industri, adalah lebih wajar majlis media dibentuk dan oleh itu kita dapat menangani isu-isu kelangsungan bersama dengan yang lain," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai