Skip to main
Logo Malaysiakini

Pindaan Akta Kerajaan Tempatan beri PBT kuasa isu pencemaran kilang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pindaan ke atas Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas kilang yang didapati melakukan pencemaran, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata pada masa ini, tindakan penguatkuasaan berhubung hal itu hanya ada pada Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Jabatan Alam Sekitar.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertanggungjawab mengeluarkan lesen operasi yang di bawah bidang kuasa PBT sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, tapi KPKT maklum tentang kelompongan dari segi undang-undang kita yang boleh memperkuatkan lagi kerajaan tempatan mengambil tindakan,” katanya dalam sidang media di Alor Setar, Kedah hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada KPKT boleh mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik lesen operasi kilang yang melakukan pencemaran seperti insiden pencemaran air di Sungai Gong, Rawang, Selangor pada Khamis lepas.

Insiden pencemaran itu menyebabkan kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air sejak Khamis lalu apabila empat loji rawatan air di Sungai Selangor terpaksa dihenti tugas.

Susulan kejadian itu, dilaporkan empat beradik yang merupakan pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam pencemaran air Sungai Gong, iaitu antara sumber air utama ke Sungai Selangor, direman enam hari bermula semalam.

- Bernama