Skip to main
Logo Malaysiakini

Felda Sahabat ada potensi jadi hab ternak lembu - Mustapa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kawasan Felda Wilayah Sahabat memiliki potensi besar untuk dibangunkan dengan pelbagai aktiviti pertanian dan penternakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, misalnya Felda Sahabat yang seluas Melaka atau 1.5 kali ganda lebih besar daripada Singapura itu, mempunyai potensi dijadikan hab menternak lembu, bagi menampung permintaan tinggi daging tersebut.

Kata beliau pada ketika ini seorang anak muda di Felda Sahabat Bakri Pawerdi, terlibat dengan projek penternakan lembu sejak tahun 2004, dengan permulaan 20 ekor lembu dan kini menternak lebih 4,000 ekor lembu.

“Bakri, 34, ini menjual lembu dimilikiny sehingga ke Sarawak dan turut mengeksport ke Brunei, permintaan terhadap daging lembu miliknya amat tinggi, sehingga lebih 200 ekor sebulan diperlukan, tetapi Bakri hanya mampu membekalkan 60 ekor sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mustapa berkata, kejayaan Bakri itu boleh dijadikan contoh kepada warga peneroka dan diperluaskan kepada kawasan tanah rancangan lain.

“Felda membantu menjalankan projek integrasi ternakan lembu di bawah program Projek Pembangunan Peneroka (PPP) di Felda Sahabat, dan saya meminta pihak pengurusan supaya menghantar laporan serta cadangan, untuk meningkatkan keupayaan Bakri menternak lembu,” katanya.

Mustapa dalam pada itu berkata, beliau telah turut meminta Sabah Development Corridor (SDC) untuk bekerjasama dengan Felda, dalam membantu Bakri.

Sementara itu katanya, Felda memerlukan model baharu yang lebih lestari bagi mengurangkan kebergantungan kepada komoditi kelapa sawit dan getah, dalam menjana pendapatan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan memperkasakan Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang terkandung dalam Kertas Putih FELDA, bagi memastikan hasrat tersebut tercapai.

Semalam, Mustapa dalam rangka pertama lawatan kerja dua hari ke Sabah, melawat projek ternakan integrasi lembu di Felda Sahabat.

Mustapa turut mengumumkan peruntukan kira-kira RM25 juta untuk projek bekalan air, empat set generator dan membaiki cerun runtuh, bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk di Felda Sahabat.

- Bernama