Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas pengarah Kemas Kelantan dituduh lulus permohonan palsu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kelantan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas tuduhan meluluskan permohonan kertas kerja palsu berjumlah RM15,450 pada tahun lalu.

Anuar Mat Zin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pengarah Kemas Kelantan meluluskan borang permohonan dan justifikasi yang mengandungi butiran mantan palsu.

Anuar didakwa memberi kelulusan ke atas kertas kerja Bengkel Penyelarasan Desa Harapan Kemas Kelantan 2019 berjumlah RM15,450 yang akan dilaksanakan selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai 2019 di sebuah hotel di Gua Musang.

Dia didakwa dengan niat memperdayakan ketua pengarah Kemas sedangkan bengkel tersebut hanya dijalankan sehari iaitu pada 25 Julai.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Pengarah Kemas di Wisma Persekutuan Kota Bharu pada Julai tahun lalu.

Sehubungan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili Shahidah Muslimah Roslan.

Nor Hamizah mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 selain pasportnya ditahan dan perlu melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Bagaimanapun, Shahidah Muslimah dalam rayuan bagi pihak anak guamnya memohon ikat jamin dikurangkan menjadi RM3,000.

"Tertuduh mempunyai dua orang anak berusia 19 dan 17 tahun yang masih belajar. Selain itu, anak guam saya merupakan anak sulung daripada sembilan beradik dan perlu menjaga ibunya berusia 78 tahun yang sudah uzur.

"Jumlah ikat jamin sebanyak RM10,000 agak tinggi kerana tertuduh berdepan berkemungkinan digantung kerja dan akan hilang sumber pendapatan sepanjang tempoh bicara," katanya.

Susulan itu, Zaman memerintahkan jumlah ikat jamin sebanyak RM 7,000 selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Mahkamah menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes, manakala tertuduh membayar jumlah ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.

Difahamkan tertuduh kini bertugas di salah satu jabatan di Kemas Putrajaya.