Skip to main
Logo Malaysiakini

Khairuddin: Eksport kayu M'sia RM22.5 bilion tahun lepas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia mengeksport sebanyak RM22.5 bilion produk berasaskan kayu pada tahun lepas, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata daripada jumlah itu, produk perabot merupakan produk tertinggi yang bernilai RM9.14 bilion, diikuti produk papan lapis sebanyak RM3.40 bilion dan kayu gergaji iaitu RM3.37 bilion.

"Kita juga berharap nilai eksport pada tahun ini akan meningkat sekurang-kurangnya sama seperti tahun lepas atau lebih lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Perladangan Komuniti negeri di Batu Kikir, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pekilang Panel Malaysia (MPMA) Datuk Wira Sheikh Othman Rahman, Pengarah Urusan Plus Intervest Datuk Chua Hock Gee, Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) Mazli Zakuan Mohd Noor dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Khali Aziz Hamzah.

Mengenai program berkenaan, Mohd Khairuddin berkata ia bertujuan memperbanyakkan lagi bekalan kayu spesis hutan yang kian menyusut menerusi konsep perladangan selain membantu meningkatkan pendapatan golongan B40.

"Program yang diadakan hari ini bertujuan memberi pengenalan berkaitan spesis-spesis pokok yang mengalami pertumbuhan cepat seperti Batai dan Eucalyptus (pokok kayu putih). Program ini dilaksanakan bagi memastikan kelestarian bahan mentah kayu terus mampan serta mengurangkan kebergantungan sumber daripada hutan asli.

"Ladang komuniti yang bakal diwujudkan ini bakal memberikan keuntungan kepada pelbagai pihak terutamanya golongan B40. Tanah-tanah terbiar, meskipun dalam saiz kecil, dapat dioptimumkan dan diberi nilai tambah apabila terhasilnya ladang komuniti ini,” katanya.

Menurut Mohd Khairuddin, jaminan belian balik dapat membantu dan meningkatkan pendapatan golongan B40 secara konsisten," katanya sambil memaklumkan, projek berkenaan melibatkan 20 peserta.

Beliau berkata sejak 2016, FRIM dengan kerjasama MPMA dan Plus Intervest telah menjalankan pelbagai kajian untuk menentukan spesis hutan yang boleh diladangkan dan dituai dalam tempoh kurang enam tahun.

Mohd Khairuddin berkata pokok Eucalyptus menghasilkan kayu yang berat, kuat dan tahan lasak sekali gus menjadikannya sebagai sumber kayu paling bernilai di dunia serta membekalkan bahan mentah berkualiti tinggi untuk pulpa, kertas dan tenaga.

Katanya, perladangan Eucalyptus dijangka dapat memenuhi permintaan bahan mentah balak pada masa hadapan.

- Bernama