Kerani aniaya anjing didenda RM30,000
Seorang kerani pentadbiran didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di George Town hari ini kerana menganiaya dua ekor anjing miliknya dengan tidak memberi makan dan merantai haiwan berkenaan, pada Mac tahun lepas.
Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Oh Ju Lian, 40, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah terhadap perbuatan itu.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda tersebut dan dilucutkan hak penjagaan terhadap seekor anjingnya yang masih hidup.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara tidak munasabah menyebabkan dua ekor anjing kepunyaannya berada dalam kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya di sebuah rumah di Paper Estate, Tanjong Bunga, pada 3 petang, 4 Mac 2019.
Mengikut fakta kes, Oh telah membiarkan kedua-dua anjingnya itu berada dalam keadaan terikat dengan rantai besi di pagar batu dengan salah seekor daripadanya telah mati.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu dalam rayuannya, Oh sambil menangis memohon mahkamah agar mengenakan hukuman ringan atas alasan dia tidak mampu membayar denda tinggi kerana perlu menyara keluarga.
Ibu kepada dua anak yang tidak diwakili peguam itu turut insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Roziman Awang Tahrin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap wanita berkenaan.
OKS membayar denda tersebut.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai