Polis Kelantan rampas dadah bernilai hampir RM60 juta
Polis Kelantan berjaya merampas sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM59.8 juta dalam dua kes berasingan pada awal bulan ini menjadikan ia rampasan terbesar pasukan keselamatan terbabit dicatatkan pada tahun ini.
Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata dalam kes pertama sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menyerbu sebuah rumah di Tanjung Chat, Kota Bharu, pada 1 Sept.
Dalam kejadian 10 malam itu katanya, sebuah kereta jenis Toyota Vellfire diparkir di halaman rumah dalam keadaan mencurigakan dan pintu pagar terbuka.
"Intipan lanjut melalui jendela rumah tersebut polis mendapati terdapat bungkusan guni berada di ruang tamu.
"Pemeriksaan mendapati rumah tersebut tidak berpenghuni dan polis menemui sejumlah dadah serta sepucuk pistol.
"Susulan itu polis merampas ganja seberat 1.293kg, syabu seberat 972.4kg, pil yaba 11,800 biji dan sepucuk pistol jenis Glock beserta satu kelopak berisi lapan butir peluru," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.
Susulan menemuan itu kata Shafien polis mengesan dan menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 25 tahun di sebuah rumah lain yang terletak di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu pada jam 1.20 pagi," katanya.
Ada guni mencurigakan
Shafien berkata, siasatan lanjut mendapati lima suspek lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan narkotik.
Katanya mereka direman selama seminggu sehingga 8 Sept ini.
"Jumlah rampasan keseluruhan dadah bernilai RM42.2 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sekyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.
Menurut Shafien lagi polis juga menyita dua akaun bank milik suspek yang mengandungi wang bernilai RM204,558 serta sebuah Toyota Vellfire, sebuah Perodua Myvi dan sebuah motosikal Yamaha 125z.
"Susulan penemuan ini pihak polis mengenal pasti dan memburu seorang suspek berusia awal 30-an yang disyaki menjadi dalang mengedar dadah dalam kes tersebut," katanya.
Sementara itu dalam kes kedua pada 3 Sept sejumlah dadah ditemui pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 ketika membuat rondaan operasi di tebing Sungai Golok, Pasir Mas kira-kira jam 7 pagi.
Shafien berkata, pihak berkuasa menemui selonggok guni dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati ia mengandungi dadah jenis syabu.
"Siasatan lanjut mendapati guni berkenaan diisi dengan 441kg syabu dengan nilai pasaran RM17.6 juta.
"Siasatan lanjut dan terperinci juga sedang dijalankan untuk mengenal pasti pembekal dan pengedar dadah yang dirampas," tambahnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai