Skip to main
Logo Malaysiakini

Jajaran ECRL Mentakab-Pelabuhan Klang sedang diperhalusi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Mentakab ke Pelabuhan Klang sedang dikaji dan diperhalusi terutamanya laluan asal yang melalui Bentong, Gombak dan seterusnya ke Pelabuhan Klang, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah.

Beliau berkata jajaran projek ECRL ini telah dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Seksyen A (jajaran dari Kota Bharu–Dungun), Seksyen B (jajaran dari Dungun–Mentakab) dan Seksyen C (jajaran dari Mentakab–Pelabuhan Klang).

“Cadangan asal projek ECRL pada tahun 2018 iaitu sebelum penggantungan projek telah mengambil kira pembinaan sistem landasan bagi tolok meter bagi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan tolok standard bagi ECRL yang akan dibina dari Serendah ke Pelabuhan Klang.

“Stesen Serendah telah dikenal pasti sebagai stesen yang sesuai bagi pertukaran penumpang dan barangan atau kargo di antara ECRL dan KTMB.

“Melalui stesen ini, kedua-dua perkhidmatan ini (ECRL dan KTMB) akan dapat mengintegrasi dan meningkatkan jaringan rel di antara negeri-negeri di Pantai Timur dan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Ismail Ibrahim (BN-UMNO) yang ingin tahu mengenai perancangan kerajaan bagi menjajarkan semula laluan asal bahagian ECRL melalui Bentong, Gombak ke Pelabuhan Klang agar ia sejajar dengan jaringan bersepadu pengangkutan rel di Semenanjung Malaysia terutamanya Pantai Timur.

Katanya cadangan pembinaan laluan ECRL dan laluan KTMB dari Serendah ke Pelabuhan Klang akan memberi manfaat kepada kerajaan terutamanya dalam penjimatan kos perbelanjaan projek sekali gus dapat menjimatkan tempoh penyelarasan dan pembinaan bagi kedua-dua laluan ini.

Beliau berkata pihak kerajaan akan berunding semula dengan pihak kerajaan China dan kontraktor utama projek bagi mendapatkan kepastian mengenai implikasi kos dan jadual pelaksanaan projek.

“Hasil rundingan ini akan dibentangkan kepada kerajaan bagi keputusan muktamad mengenai jajaran Seksyen C (Mentakab–Pelabuhan Klang) projek ECRL,” katanya.

- Bernama