Bayi perempuan ditemukan dalam longkang
Seorang bayi perempuan ditemukan dalam beg plastik di dalam sebuah longkang di Jalan Kebun, Kampung Solok dekat Tangkak, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata bayi berkenaan dijumpai oleh seorang lelaki yang kemudian memaklumkan penemuan itu kepada polis pada jam 6.18 petang.
Mohd Fadhil berkata lelaki itu menerusi laporannya menyatakan bahawa anak lelakinya telah mendengar tangisan bayi di kawasan longkang berkenaan ketika pulang dari sekolah, lalu memberitahu perkara itu kepadanya.
“Lelaki terbabit pergi ke longkang itu yang jaraknya kira-kira 50 meter dari rumahnya sebelum menemukan bayi berkenaan yang masih bernafas dan menangis dibaluti dengan plastik berwarna oren di dalam longkang tersebut,” katanya, menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, lelaki berkenaan terus mengangkat bayi tersebut dan membalutnya dengan sehelai kain.
Mohd Fadhil berkata pegawai perubatan mengesahkan bayi seberat 2.6 kilogram itu dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di Hospital Tangkak untuk pemerhatian sepenuhnya.
Polis kini sedang mengesan suspek dalam kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-522 0525 atau 06-9781222.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Rakaman video berhubung penemuan bayi berkenaan turut tular di laman sosial.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai