Skip to main
Logo Malaysiakini

Kitingan: Umno BN dominasi rundingan kerusi di Sabah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN SABAH | Umno dan BN mendominasi rundingan kerusi antara parti Perikatan Nasional bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan datang, kata presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan.

Kitingan berkata demikian kepada Malaysiakini ketika ditemui di Mahkamah Persekutuan hari ini setelah menghadiri rundingan tersebut pagi ini di Putrajaya.

Kitingan mendakwa Umno dan BN ingin mendapatkan kerusi terbanyak ketika sentimen tempatan lebih berpihak kepada parti tempatan.

“Seharusnya sebaliknya. Parti tempatan harus memiliki lebih banyak kerusi daripada parti 'semenanjung',” kata Kitingan, 71 yang merupakan ahli politik veteran di Sabah.

Beliau berkata pendirian Star adalah parti itu harus diberikan hak untuk meletakkan calon di 15 hingga 18 kerusi bagi pihak PN.

Matlamat Star adalah agar parti itu dan Parti Bersatu Sabah (PBS) secara bersama memperoleh 30 hingga 35 kerusi yang kebanyakannya di kawasan Kadazan Murut Dusun (KDM).

“Jika kita tidak mendapatkan itu, rakyat mungkin tak puas hati dan kita tidak boleh mendapatkan keputusan yang kita inginkan. Rakyat mungkin tidak menyukai PN.

"Jika saya memiliki sokongan kewangan, saya akan (menurunkan lebih banyak calon) dan lawan semua orang, kerana ini (parti tempatan) adalah apa yang rakyat mahu.

“Kalau mereka potong kita kecil-kecil, ini namanya divide and rule (pecah dan perintah). Kita tidak mahu itu,” tambahnya.

Menurut Kitingan, rundingan masih berlangsung dan mungkin selesai paling cepat esok.

Star merupakan sebuah parti baru yang dipimpin Kitingan, seorang ahli politik veteran di Sabah.

Parti itu memenangi dua kerusi pada pilihan raya umum 2018.