Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua ijazah Zahidi dipertikai lepas isu Veveonah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dakwaan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidi memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) lulusan 'universiti scam kilang ijazah' berpunca daripada kesilapan laporan media tempatan.

Agensi berita kerajaan, Bernama kali pertama melaporkan Zahidi mendapat pendidikan daripada 'institusi pengajian' berpengkalan di Amerika Syarikat, “Northern California Global University” pada artikel bertarikh 9 Mac mengenai biografinya selepas dilantik sebagai timbalan menteri.

Polis Indonesia sebelum ini menangkap 12 orang kerana menjual "ijazah palsu" termasuk MBA dari Northern California Global University.

Dua hari selepas menerbitkan artikel itu, Bernama mengeluarkan pembetulan terhadap laporan asalnya.

Sebutan mengenai ijazah MBA dikeluarkan dan kelayakan akademik Zahidi ditukar menjadi Diploma Pentadbiran Awam dari Institut Teknologi Mara, pendahulu UiTM hari ini.

Bagaimanapun, memandangkan pembetulan kesilapan sedikit tertangguh, portal berita, malahan laman web Kementerian Komunikasi dan Multimedia terus menerbitkan laporan asal Bernama bertarikh 9 Mac.

Terdahulu hari ini, Malay Mail melaporkan keraguan mengenai ijazah Zahidi dan menunjukkan "Global University" merupakan institusi berteraskan Kristian yang tidak menawarkan program MBA.

Menurut laman webnya, universiti itu terletak di negeri Missouri dan bukan California di AS.

Ijazah kedua meragukan

Beberapa hari kebelakangan ini, ramai pihak mengkritik Zahidi, selepas beliau mendakwa pelajar universiti berusia 18 tahun, Veveonah Mosibin berbohong sehinggakan perlu memanjat pokok untuk mengambil peperiksaan dalam talian.

Selain ijazah MBA yang didakwa meragukan itu, pengguna Twitter turut menyorot sarjana sains politiknya daripada "International Irish University", seperti yang dinyatakan dalam laporan tahunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) 2016 ketika beliau menerajui agensi itu.

Media Britain sebelum ini menganggap “International Irish University” sebagai universiti "palsu" yang menawarkan ijazah tanpa tauliah dan mendedahkan ia dikendalikan oleh seorang ahli perniagaan Malaysia.

Malaysiakini telah menghubungi ahli parlimen Padang Besar itu bagi mendapatkan penjelasan tetapi masih tiada maklum bals daripada beliau sehingga pada waktu penerbitan berita ini.

Tahun lalu, pemimpin Pakatan Harapan, Marzuki Yahya, Mohamad Sabu, Zuraida Kamaruddin, Osman Sapian dan Paul Yong turut dipertikaikan kelulusan akademik mereka yang didakwa terlibat dalam skandal 'kilang ijazah palsu'.

[Baca berita asal]