Skip to main
Logo Malaysiakini

Warisan beritahu Musa 'jumpa pilihan raya nanti'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Parti Warisan Sabah meminta Adun Sungai Sibuga, Musa Aman menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya berhubung keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 30 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini,  pengerusi tetap parti itu Liew Vui Keong yang juga seorang bekas peguam berkata, hal itu tidak dapat dicabar di mahkamah kerana Yang di-pertua Negeri mempunyai budi bicara mutlak untuk membubarkan Dun.

"Meski demikian Musa terus mencabar kuasa Yang di-Pertua Negeri kerana rasa bimbang untuk menghadapi rakyat Sabah dalam pilihan raya negeri penghujung bulan ini. Tetapi keadilan telah dijalankan," kata Liew.

Liew menggesa Musa menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri.

"Marilah kita biarkan rakyat Sabah sendiri memilih kerajaan negeri pilihan mereka secara bebas dan demokratik dan melaksanakan mandat mereka.

"Jumpa pada pilihan raya nanti," kata Liew.

Musa dan 32 Adun yang lain sebelum ini memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin membubarkan Dun pada Julai lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan berkenaan dan keputusan ini ditegaskan sekali lagi oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Musa dan 32 Adun yang lain dijangka memfailkan rayuan berhubung perkara itu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 30 Julai lalu, Musa secara terbuka mendakwa beliau mempunyai sokongan untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Bagaimanapun Juhar membubarkan Dun atas nasihat ketua menteri, Shafie Apdal, sebelum Musa dapat mendekati istana.