Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya tak dikelirukan Rizal Mansor, kata saksi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES ROSMAH | Seorang perunding memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dia tidak dikelirukan oleh Rizal Mansor semasa bekas pembantu Rosmah Mansor itu meminta menyediakan perjanjian perundingan bagi projek tenaga solar hibrid buat sekolah luar bandar di Sarawak.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Rosmah, Jagjit Singh, Tee Kien Moon, 51, yang juga dikenali sebagai Lawrence berkata tingkah laku Rizal nampak konsisten sejak dari mula apabila dia meminta perjanjian itu disediakan.

Jagjit: Adakah anda setuju atau tidak dengan cadangan saya bahawa berdasarkan kepada bukti di mahkamah, anda telah dikelirukan oleh Rizal berhubung peranan anda, berdasarkan kepada persepsi bahawa Rizal ketika itu adalah pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor.

Tee: Tidak, saya rasa saya tidak dikelirukan, tingkah lakunya (Rizal) adalah konsisten sejak dari mula kami berjumpa.

Jagjit: Saya cadangkan kepada anda bahawa dia (Rizal) secara konsisten telah mengelirukan anda.

Tee: Saya keliru.

Jagjit: Saya cadangkan kepada anda bahawa dia (Rizal) tidak konsisten, dia secara konsistennya tidak konsisten. Jadi, jangan berikan justifikasi untuk dia.

Tee: Saya tidak tahu.

Saksi pendakwaan ke-20 itu bagaimanapun berkata dia tidak pasti sama ada Rosmah memainkan peranan dalam mengarahkan penyediaan perjanjian itu.

Tee berkata demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan Rosmah, 68, yang berdepan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Tidak terima bayaran

Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Dalam keterangannya semalam, Tee yang dilantik sebagai perunding bagi sebuah syarikat di Vietnam pada 2016 memberitahu mahkamah, dia dimaklumkan oleh Rizal pada Mei 2016 bahawa dia perlu menyediakan perjanjian perundingan bagi projek membekal dan memasang panel solar kepada lebih 300 sekolah di Sarawak.

Rizal Mansor

Saksi itu berkata Rizal memberitahunya bahawa dia (Tee) perlu menyediakan perjanjian perundingan kerana "Mem" - yang kemudian disahkan sebagai Rosmah - mahukan dia berbuat demikian.

Dia kemudian memenuhi permintaan Rizal itu kerana Rizal adalah pegawai khas Rosmah.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram semasa pemeriksaan balas sama ada dia menerima pembayaran daripada perjanjian yang disediakannya, Tee yang juga seorang ahli perniagaan berkata dia tidak menerima sebarang pembayaran.

Gopal: Adakah anda menerima wang daripada urusan berkenaan, dari segi di mana anda membuat perjanjian itu?

Tee: Tidak, satu sen pun tidak.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok, dengan Rizal dijangka memberi keterangan.

- Bernama