Skip to main
Logo Malaysiakini

Noor Hisham: Patuhi SOP Covid-19 ketika PRN Sabah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menggesa semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi meminimumkan risiko jangkitan.

Ini berikutan lonjakan kes Covid-19 apabila negeri itu mencatatkan 62 kes baru dalam tempoh 24 jam setakat tengah hari tadi.

Kempen pilihan raya negeri Sabah akan bermula pada hari penamaan calon Sabtu ini sehingga tengah malam sebelum hari pengundian pada 26 Sept.

"KKM ingin mengingatkan kepada mereka untuk patuh kepada SOP iaitu sama ada petugas kesihatan dan juga bukan kesihatan dan juga pada rakyat Malaysia terutamanya mereka di Sabah untuk patuh kepada SOP iaitu elak 3S dan amal 3W.

"Kalau kita amalkan SOP insya-Allah kita boleh jarakkan daripada dijangkiti.

"Tetapi kalau ada perhimpunan tiada penjarakan dan tak memakai mask dan cuci tangan, jadi risiko jangkitan akan meningkat," katanya ketika ditanya mengenai nasihat kementerian berhubung PRN di Sabah.

Antara nasihat kementerian kesihatan adalah mengelakkan diri daripada menyentuh orang lain, mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul dan mendapatkan rawatan segera apabila menunjukkan gejala.

Senarai SOP bagi perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang lengkap untuk semua sektor boleh didapati di laman web Majlis Keselamatan Negara.