Penulis dakwa artikel diplagiat dalam perbahasan, senator mohon maaf
Seorang penulis mendakwa tulisannya diplagiat oleh Anggota Dewan Negara, Senator Dr Ahmad Azam Hamzah dalam ucapannya ketika membahaskan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 September lalu.
Penulis berkenaan, Fakhrurrazi Rashid merujuk kepada halaman 68 hingga 70 hansard Dewan Negara yang menunjukkan Ahmad Azam memplagiat artikelnya bertajuk 'Penawar alternatif kepada penyakit lompat parti', yang disiarkan Malaysiakini pada 27 Julai lalu.
"Tindakan ini amat mendukacitakan kerana dia tidak memberi kredit kepada penulis asal (saya) dalam artikel tersebut. Hampir 80 peratus artikel saya diambil sebagai ucapannya di Dewan Negara.
"Senator ini harus membuat kenyataan di Dewan Negara berkenaan isu ini dan memberi kredit kepada penulis asal artikel dan memohon maaf.
"Kesalahan plagiat ini tidak seharusnya dilakukan oleh semua pihak, khususnya ahli parlimen yang memegang amanah rakyat. Ahli parlimen perlu bersikap jujur ketika menyampaikan idea dan hujah ketika di mebincangkan isu rakyat di Dewan yang mulia ini," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Semalam, Fahkrurrazi membangkitkan isu itu di laman Facebooknya selepas menyedari perkara itu.
"Seorang senator plagiat artikel saya.Terima kasih kepada senator yang telah memetik artikel saya...Tapi, adalah molek sekiranya dia kredit saya sebagai penulis asal," katanya dalam satu hantaran Facebook, sambil melampirkan keratan hansard yang menunjukkan isi ucapan tersebut.
Dalam pada itu, Fahkrurrazi berkata perkara itu mencerminkan anggota Parlimen, sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara, tidak mendapat sokongan penyelidikan yang bermutu untuk membantu perbahasan mereka.
"Saya cadangkan tambah baik bahagian penyelidikan Parlimen untuk membantu senator dalam menganalisis Rang Undang-Undang dan menyampaikan perbahasan di Dewan Negara. Peruntukan yang setimpal perlu diberikan kepada bahagian penyelidikan untuk meningkatkan kualiti perbahasan.
"Ahli Dewan Negara juga perlu berkerjasama dan aktif dalam sesi libat urus dengan pemegang taruh, agensi kerajaan, badan pemikir dan NGO untuk mendapatkan maklumat yang tepat dengan sumber yang sahih.
"Isu ini diharap tidak berulang kerana ia akan memberi impak kepada usaha penulis, badan pemikir dan mereka yang bertungkus lumus menyiapkan kajian untuk kesedaran awam dan perbahasan dasar," katanya lagi.
Sementara itu Ahmad Azam ketika dihubungi mengambil sikap berlapang dada dan memohon maaf atas kesilapan pihaknya.
Dia berkata tidak sedar akan perkara itu kerana teks ucapan disediakan oleh kakitangannya.
"Saya mohon maaf banyak-banyak kepada penulis atas apa yang berlaku dan saya juga bersedia untuk bertemu dengannya jika ada kelapangan.
"Saya hanya memberi arahan kepada pasukan saya untuk sediakan (teks ucapan) dengan kandungan berkait dengan topik tersebut," katanya yang mengakui kesal dengan apa terjadi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai