Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua kali gagal, Musa perlu tempat untuk kembali jadi ketua menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN SABAH | Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dilihat tidak melepaskan cita-citanya untuk kembali menjadi ketua menteri Sabah selepas dua kali gagal membuat kemunculan semula.

Untuk kembali semula sebagai ketua menteri Sabah, Musa harus terlebih dahulu memenangi kerusi Dun pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan datang. 

Bagaimanapun beliau mungkin menghadapi masalah mencari parti yang bersedia menerimanya.

Musa hari ini membuat catatan Facebook yang secara samar-samar mengatakan "Saya akan kembali ke Sungai Manila".

Sungai Manila merupakan kerusi Dun baru yang dipecahkan dari Dun Sungai Sibuga, sebuah kawasan yang disandangnya sejak tahun 1994.

Sungai Manila kini adalah kerusi yang menarik bagi Musa kerana sebahagian besar penyokongnya dipindahkan ke kerusi baru itu.

Bagaimanapun, dua sumber Umno yang bercakap dengan Malaysiakini mengatakan Musa tidak termasuk dalam senarai calon Umno dan ini diketahui berdasarkan rundingan setakat semalam.

Rundingan tersebut masih berjalan lancar tetapi sekiranya keadaan tidak berubah, Musa mungkin perlu mencari parti baru sekiranya mahu bertanding di bawah salah satu parti berpotensi di Sabah.

"Berdasarkan maklumat dari Umno, Musa bukan calon Sungai Manila.

"Mungkin dia boleh bertanding dengan tiket yang berbeza tetapi kami tidak pasti parti mana," kata salah satu sumber dalam Umno Libaran.

Sementara itu Bung Moktar yang dihubungi Malaysiakini memberitahu memang nama Musa tiada dalam senarai calon BN.

"Memang dia akan balik ke Sungai Manila, tapi dia tak kata akan bertanding. Mungkin dia nak jumpa keluarga dia?" katanya.

Bung Moktar dijangka mengumumkan senarai calon BN pagi esok menjelang hari penamaan calon Sabtu ini.

Sungai Manila dan Sungai Sibuga adalah kerusi Dun dalam kawasan parlimen Libaran. Satu lagi Dun adalah Gum-gum.

Musa adalah satu-satunya Adun yang kekal bersama Umno walaupun kesetiaannya tidak jelas sejak dijatuhkan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Selepas PRU14, Musa pada mulanya berhasrat membawa Adun- Adun Umno ke Parti Bersatu Sabah (PBS) tetapi rancangan tersebut tidak menjadi kenyataan.

Ideanya pada masa itu adalah parti berasaskan Sabah lebih sesuai untuk menarik sokongan pengundi.

Ketika Musa berada di luar negara di tengah-tengah tuduhan rasuah terhadapnya, Adun-Adun Umno akhirnya menyertai pelbagai parti termasuk Bersatu, Warisan dan Upko.

Kebangkitan Musa

Dalam ketiadaannya, barisan kepimpinan lain mengambil alih Umno Sabah, yang kini diketuai oleh Bung Moktar Radin.

Bagaimanapun beberapa perkembangan baru mendorong Musa kembali ke kancah politik Sabah pasca PRU14 dan sekarang beliau dilihat cuba untuk bertahan.

Ia bermula dengan kejatuhan kerajaan  Pakatan Harapan (PH) yang digantikan dengan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, BN, PAS, GPS, PBS dan Star.

Pada Jun, tuduhan rasuah terhadap Musa digugurkan. Beliau dengan pantas mengumpulkan kembali bekas Adun Umno di bawah Bung Moktar, yang mengatakan bahawa Umno Sabah tidak terlibat dalam rampasan kuasa yang dirancang Musa.

Pada 29 Julai, Musa mengumumkan bahawa beliau mempunyai cukup sokongan untuk mengambil alih kerajaan Sabah dan berusaha mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Bagaimanapun ia digagalkan setelah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin bersetuju dengan permintaan Ketua Menteri Sabah,  Shafie Apdal untuk membubarkan dewan undangan negeri, yang membuka laluan bagi pilihan raya Sabah pada 26 September. ini

Ini merupakan tamparan kedua buat Musa, yang memperoleh majoriti tipis pada pilihan raya umum 2018 tetapi dijatuhkan oleh presiden Warisan Shafie Apdal.

Digagalkan buat kali kedua sebagai ketua menteri dan tidak lagi memegang jawatan dalam Umno Sabah, Musa tidak lagi mempunyai kebebasan memilih kerusi yang ingin ditandinginya sesuka hati.

Hubungannya dengan Bung Moktar juga dilaporkan tegang.

Menurut Borneo Today, Bung Moktar mengesahkan bahawa dia dan Musa tidak bercakap antara satu sama lain sejak pilihan raya umum 2018.

Musa juga tidak hadir dalam majlis Umno Bahagian Libaran pada malam Sabtu lalu yang dilancarkan oleh Bung Mokhtar.

Berunding dengan Umno atau talian hayat Bersatu?

Sekiranya BN dan Umno Sabah menolak untuk meletakkan Musa sebagai calon, beliau mungkin berpindah kepada Bersatu atau diturunkan sebagai calon bebas.

Hubungan Musa dengan Bersatu dilihat terjalin dengan baik.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dilaporkan turut terlibat ketika Musa berusaha melobi Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk dilantik sebagai ketua menteri baru pada Julai lalu.

Musa juga memuat naik gambar bersama Hamzah semasa satu acara politik di Kota Kinabalu pada 30 Ogos.

https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/09/61c58b16815e4895554eef1d1e399270.jpg

Ketika dihubungi, timbalan ketua Bersatu Sabah Masiji Manjun tidak dapat mengesahkan apakah pBersatu akan diberikan kerusi di Sungai Manila.

Masidi, yang mengatakan dia belum diberitahu mengenai kemungkinan Musa diturunkan sebagai calon Bersatu, juga menidakkan hantaran Facebook Musa.

"Mungkin (catatan Facebooknya bermaksud) dia 'kembali' untuk membantu kempen.

"Itu mungkin, kan?" kata Masidi.

Bersatu adalah parti serpihan Umno dan menuntut beberapa kerusi yang ditandingi oleh Umno selama beberapa dekad lalu.

Walaupun hubungan tegang,  kedua-dua parti berusaha untuk berunding bagi mengelakkan pertembungan antara satu sama lain kerana ini hanya akan menguntungkan musuh bersama mereka, iaitu Warisan,  Upko dan Pakatan Harapan.

Umno akan bertanding di bawah logo BN manakala Bersatu mahu bertanding di bawah logo PN.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan, tiada jaminan bahawa BN dan PN akan dapat sepenuhnya menghindari pertembungan sesama sendiri.