Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada cadangan caj perkhidmatan bagi pembelian atas talian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Belum ada perbincangan untuk mengenakan bayaran perkhidmatan 20sen bagi pembelian bawah RM1,000 di platform e-dagang dan tambahan 20sen bagi gandaan RM1,000 berikutnya.

Perkara itu dijelaskan dalam kenyataan media Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sebentar tadi - sehari selepas timbalan menterinya Zahidi Zainul Abidin mengeluarkan kenyataan berkaitan.

Kenyataan ringkas satu perenggan untuk siaran segera itu tidak menghuraikan lanjut perkara itu.

Zahidi Zainul Abidin 

Memetik Zahidi, Malaysiakini semalam melaporkan kerajaan bercadang mengenakan caj perkhidmatan 0.02 peratus kepada pembelian atas talian dan hasilnya digunakan untuk mempertingkatkan keselamatan siber.

“Contohnya pembelian RM1,000 dikenakan 20sen, atau 0.02 peratus,” katanya dalam program rasmi di Kelantan semalam.

Dia bagaimanapun berkata pihaknya belum menetapkan jumlah minimum pembelian yang membolehkan caj dikenakan dan perkara itu juga “masih dalam perancangan peringkat kementerian”.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa menegaskan kerajaan tidak pernah membuat keputusan itu dan berkata akan membantahnya jika dibawa ke parlimen.