Penularan terus tinggi - 45 lagi kes baru Covid-19
Penularan kes Covid-19 di negara ini terus berada di tahap tinggi dengan 45 lagi kes baru dicatatkan setakat tengah hari tadi, berbanding 24 kes, semalam.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, kes baru yang dilaporkan hari ini terdiri daripada 44 kes penularan tempatan dan hanya satu kes import.
Kes import itu melibatkan seorang warganegara yang dilaporkan di Selangor, yang baru pulang dari negara Brazil.
“Daripada 44 kes penularan di dalam negara, 11 adalah di kalangan warganegara Malaysia dan 33 adalah bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perincian kes yang diberikan adalah seperti berikut:
- Kedah – empat kes: Satu kes daripada kluster Sungai, dua kes daripada kluster Telaga dan satu kes saringan bergejala di Klinik Kesihatan Simpang Kuala.
- Sabah - 40 kes daripada kluster Benteng LD, di mana 33 kes melibatkan bukan warganegara.
Ini, katanya, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini mencecah 9,628 orang dengan 333 lagi masih aktif.
Dia juga memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.
Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal sebanyak 128 kes atau 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat 24 kes yang telah pulih hari ini manakala terdapat sembilan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan lima kes memerlukan bantuan pernafasan.
Mengulas lanjut mengenai kluster Benteng LD yang melibatkan dua daerah di Sabah, Dr Noor Hisham berkata seramai 1,909 individu telah disaring di Tawau.
Daripada jumlah itu, katanya, 83 dikesan positif setakat ini, manakala 770 individu telah disaring di Lahad Datu dengan 87 kes dikesan positif.
Mengenai kluster Sungai, seramai 1,456 orang telah disaring di Kedah dengan 39 dikesan positif, manakala tujuh individu telah disaring di Perlis dengan satu kes positif, sementara bagi kluster Telaga pula, seramai 4,626 individu telah disaring di Kedah dengan 13 dikesan positif.
Tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Daerah Kota Setar, Kedah, beliau berkata langkah itu susulan peningkatan ketara kes dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga yang berlaku di kawasan tersebut.
“Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di Amanjaya pula dilanjutkan hingga 13 Sept 2020 bagi memastikan saringan ke atas penduduk di kawasan tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengambil maklum keputusan pelaksanaan tindakan yang sama di kawasan penjara dan kuarters penjara di Tawau, Sabah. Keputusan wajar dan tindakan bersepadu pelbagai agensi ini akan membantu pihak KKM untuk terus menjalankan kawalan kesihatan awam di ketiga-tiga kawasan,” katanya.
Pada sidang media itu, Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa seramai 119,268 pengembara telah memasuki Malaysia sejak 3 April hingga semalam.
Daripada jumlah itu, sebanyak 995 disahkan positif Covid-19, iaitu 742 kes dikesan semasa saringan ketibaan dan 253 kes dikesan daripada saringan kedua pada hari ke-13.
“Susulan kenaikan kes import Covid-19 di Malaysia, KKM telah membangunkan matriks penilaian risiko ke atas negara-negara di dunia bagi mengukur risiko pengimportan jangkitan Covid-19 ke Malaysia.
“Ini adalah penting dalam membuat keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kawalan sempadan antarabangsa … hasil penilaian ke atas semua 23 buah negara yang telah dikenakan sekatan perjalanan ke Malaysia didapati mempunyai risiko tinggi membawa masuk jangkitan Covid-19 ke dalam negara kita,” katanya.
Jelas beliau kriteria penilaian risiko pengimportan jangkitan Covid-19 adalah berdasarkan Scoring Board: Sistem Merit yang dibangunkan KKM dengan menguna pakai sumber data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah dan Our World in Data.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai