Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Semangat Mahathir

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ini merupakan respon saya merujuk satu artikel dalam ruangan ulasan di Malaysiakini pada 30 Ogos 2020 yang ditulis oleh saudara Mohamad Siddiq Mohd Azani, setiausaha agung Pertubuhan Gerakan Revolusi Anak Malaysia (G3RAM).


PRK Slim: Mungkin dah sampai masa Dr M fikir persaraan - NGO belia


Terlebih dahulu, bagi tujuan konteks dan memahami dari mana datangnya ulasan saudara Siddiq.

Umum perlu ketahui bahawa dia merupakan calon exco Armada, sayap pemuda kepada parti yang telah melucutkan jawatan pengasasnya, parti yang sama mengkhianati mandat rakyat dan tidak merasa malu memanggil diri mereka “Penyelamat Negara” sebagaimana Najib Razak membahasakan dirinya “Bossku”.

Presiden kepada Pertubuhan Gerakan Revolusi Anak Malaysia (G3RAM) pula adalah exco Armada kini, saudara Hariz Faisal dan G3RAM mempunyai keanggotaan 98% dalam kalangan ahli Armada. 

G3RAM, melalui beberapa siri kenyataan mereka sebelum ini telah pun menyatakan kecenderungan mereka menyokong Bersatu.

Ironinya lagi, Siddiq hanya berani bersuara apabila Dr Mahathir Mohamad serta pengikutnya dalam Bersatu sudah dilucut, dipecat atau keluar secara beramai-ramai meninggalkan parti tersebut.

Begitulah keadaannya bagi orang-orang yang dangkal, bacul dan penakut – pada sosok berumur 95 tahun pula?

Maka bergandalah kemaluannya. Justeru, tidak hairanlah penulisan saudara Siddiq begitu kritikal terhadap Mahathir.

Saya akan membalas kenyataan Siddiq dalam maksud kritikal yang sama.

Pertamanya, Siddiq menyebut bahawa kekalahan calon bebas (yang disokong Mahathir) merupakan isyarat anak muda sudah letih melayan kerenah politik yang dikuasai wajah sama tanpa hala tuju yang jelas.

Suka saya maklumkan pada saudara Siddiq bahawa kepimpinan BN dan MN majoritinya dikuasai oleh tokoh yang sama sejak berdekad lamanya.

Mengata dulang paku serpih

Sebagai contoh, Presiden PAS, Hadi Awang pertama kali bertanding Parlimen pada 1982 dan telah berkhidmat sebagai presiden bagi partinya, PAS, selama hampir 20 tahun.

Hadi kini berumur 73 tahun dan masih lagi Presiden.

Presiden Umno, Ahmad Zahid pula pertama kali menang di Bagan Datoh pada 1995 dan baru memegang jawatan presiden tidak sampai sepenggal.

Ini bagaimanapun atas dasar terpaksa selepas presiden “sebenar” Umno, Najib, didesak letak jawatan kerana dikhuatiri kes-kes yang dihadapi akan mempengaruhi imej parti.

(Ini bagaimana pun tidak terjadi dan Najib terus menikmati pujaan ahli Umno biarpun telah didapati bersalah atas pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.)

Najib pula, menjadi ahli parlimen sejak 1976 dan presiden Umno selama sembilan tahun bermula 2009 – lebih jika dikira tempoh khidmat Zahid Hamidi yang sebenarnya hanya bertindak sebagai boneka Najib.

Tentulah jangkaannya Najib terus menjadi presiden jika tidak kerana dikalahkan oleh Pakatan Harapan (PH). Umur dia dan Zahid kini 67 tahun.

Presiden Bersatu pula, Muhyiddin Yassin, mula menjadi ahli parlimen sejak 1978.

Dan di atas puing-puing kemusnahan politik yang dimulakan oleh pengkhianatannya dan beberapa ahli parlimen lain kepada rakyat, PH dan Mahathir, dia berjaya menjadi perdana menteri selama lebih kurang enam bulan – setakat ini.

Muhyiddin berumur 73 tahun.

Muhyiddin Yassin

Mahathir pula bertanding dan menang pertama kali pada tahun 1964. Selama 22 tahun, dia berjaya membawa kemenangan selesa untuk Umno/BN sebagai presidennya.

Dia letak jawatan parti pada 2003 menjadikan tempoh perkhidmatan politiknya sejak mula bertanding parlimen, 39 tahun.

Berbanding Muhyiddin, 42 tahun, Hadi 38 tahun dan Najib 44 tahun, selain tempoh perkhidmatan sebagai perdana menteri, penglibatan Mahathir dalam arena politik, lebih rendah atau setara dengan lain-lain yang disebut.

Jadi, apakah tanda aras “wajah sama” yang menguasai politik negara?

Jika dilihat pada keputusan PRU14 yang lalu, iaitu dua tahun lepas, anak muda berbondong-bondong keluar untuk memberi undi kepada PH yang ketika itu menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Jelas, anak muda bukanlah begitu cetek dan lekeh pemikirannya seperti saudara Siddiq untuk mempercayai umur Mahathir akan mempengaruhi prestasinya.

Hala tuju pejuang

Kita akui anak muda lebih fleksibel, pertimbangan mereka lebih reaksionis dan mudah lentur lantas menjadikan kecenderungan undi mereka lebih sukar dijangka.

Jika ada isyarat yang boleh diamati dari PRK Slim berkenaan anak muda, ia adalah bahawa PH harus lebih proaktif dan agresif dalam mengurus persepsi perkauman yang dimainkan MN.

Berkenaan hala tuju pula, adalah jelas bahawa penubuhan parti baru oleh Mahathir bermatlamat memberi pilihan alternatif kepada orang Melayu konservatif, sentris dan progresif untuk memilih parti berasaskan perjuangan orang Melayu yang bersih, tidak korup, bebas kleptokrat, berintegrti serta bermaruah.

Saya musykil hujah “orang Melayu perlu bersatu” dijadikan asas untuk mengkritik langkah Mahathir menubuhkan parti baru, adakah mereka mahu kita bersatu dalam kemungkaran sebagaimana Umno dulu dengan sokongan mereka pada Najib Razak?

Jika MN/BN/PN sahajalah pilihannya, daripada hidup bergelumang tahi, baik mati bertimbun bunga.

Hipokrasi kerajaan

Untuk pengetahuan saudara Siddiq juga, kebanyakan orang Melayu mengundi BN atau PAS semasa PRU14.

Pecahan pengundi Melayu yang mengundi PH hanya sekitar 25-30%.Tidak timbul isu orang Melayu memberi peluang kepada PH kerana PH menang dengan cara yang betul dan demokrasi.

Mereka menang dengan mengangkat suara rakyat sebagai suara keramat berbanding MN dan Muhyiddin yang mengangkat wang dan jawatan sebagai kekeramatan baru.

Malah, jika peratus kaum yang mengundi sesuatu parti yang menentukan polisi mereka, PH seharusnya lebih cenderung kepada orang bukan Melayu.

Ini bagaimanapun tidak terjadi, keseimbangan berjaya dicapai walaupun jentera propaganda Umno/PAS berusaha (dan boleh dikatakan berjaya) menyatakan sebaliknya dengan cara menyebar kebencian, ketakutan dan perpecahan.

Pada pendapat saya juga, orang Melayu tidak lagi memberi sokongan kerana persepsi kononnya “Melayu/ Islam terancam” berjaya mengubah pola pemikiran orang Melayu untuk mempercayai bahawa benar PH lebih cenderung kepada memenangkan agenda orang bukan Melayu.

Ini bagaimanapun merupakan falasi, terbukti selepas PN membentuk kerajaan banyak isu yang sama berlaku ketika era PH tetap berlaku era PN namun tidaklah mendapat reaksi begitu kuat daripada orang Melayu.

Contohnya dalam isu pemandu mabuk, Jawi, sekolah vernakular, LGBTQ, kes Adib, Tabung Haji, UEC dan tanah Kampung Baru, kerajaan PN menggunakan banyak polisi sama sepertimana PH (dalam kes tertentu, lebih memenangkan orang bukan Melayu - contohnya pertambahan sekolah vernakular).

Tapi orang Melayu tidak begitu marahkan PN.

‘Melayu malas’ dikupas luar konteks

Tidak ada satu orang hidup yang lebih banyak menyumbang kepada pembangunan dan peradaban orang Melayu selain Mahathir.

Tun tidak sebut bahawa “semua orang Melayu itu pemalas”.

Konteks ‘Melayu malas’ yang disebut Tun adalah apabila ada dalam kalangan orang Melayu yang sebetulnya tidak mahu bekerja dalam sektor pekerjaan yang dianggap kotor, sukar dan berbahaya (3D).

Ini seterusnya membuka peluang kepada kemasukan pekerja asing yang mengambil kerja tersebut sebagai permulaan yang akhirnya membina dan memajukan diri mereka sedikit demi sedikit sehingga akhirnya mereka berjaya menjadi tauke di negara kita.

Teguran ikhlas dan benar umpama seorang atuk atau ayah yang mahu anaknya berusaha lebih kuat dan tidak terlalu selesa atau ‘complacent’ dengan pencapaian sedia ada.

Teguran yang sepatutnya diambil iktibar ini dimanipulasi dan digunakan pula sebagai modal politik sebagaimana dilakukan Umno dan saudara Siddiq.

Tambahan lagi, teguran ini datangnya dari sosok yang diakui dunia segala jasa dan pengorbanannya mengangkat martabat Ummah dan orang Melayu.

Konteksnya mungkin diproses dengan cara berbeza jika yang mengatakannya adalah saya atau saudara Siddiq yang nama apatah lagi jasa pun tidak diketahui luar dari kampung tempat halaman kami berniaga atau bekerja.

Teguran “Melayu malas” ini boleh di jejak seawal Tun masih lagi seorang ahli Umno sekitar 2014.

Bayangan maksudnya yang sama telah disebut Tun dalam ucapan-ucapannya ketika Persidangan Agung Umno jauh lebih awal dari itu.

Bagaimanapun, ketika itu, teguran ini tidak diperbesarkan atau dijadikan sekam untuk terus mengapi-apikan kemarahan orang Melayu.

Cara teguran Tun yang tegas dan terus terang ini diketahui umum sejak dahulu.

Dia bukan jenis pemimpin yang mahu menggula-gulakan kenyataannya dengan harapan orang Melayu akan mendengarnya dan tidak rasa tersinggung.

Ya, ia mungkin kontradik dengan penulisan tokoh tersohor seperti Alatas tapi tidak banyak menyimpang dari mesej-mesej karyawan seperti Za’ba.

Pun begitu, Dr Mahathir juga pernah menyebut dan bangga dengan pencapaian orang Melayu.

Dia sebut beberapa kali pencapaian orang Melayu ini khususnya di pentas dunia seperti di PBB atau Oxford.

Sebagai contoh, dalam satu ucapannya di Cambridge Union Society pada Jun 2019, Tun menyebut:

“Walaupun ada kalanya saya setuju (dengan dakwaan Melayu malas), ia hanya satu bentuk generalisasi.

“Saya tahu ada ramai orang Melayu di luar sana yang bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan kehidupan sendiri.”

Ini tidak pula ditonjolkan pihak lawan mahupun media kerana tidak memenuhi naratif menimbulkan kontroversi dan konfrantasi yang boleh dijual kepada penonton sasaran.

Jika dilihat pencapaian orang Melayu dalam pelbagai bidang, jelas masih banyak perlu dilakukan.

Kerisauan Mahathir berasas dan meruncing lebih-lebih lagi jika kita sebagai satu bangsa, tidak mahu ketinggalan lebih jauh dari sedia ada.

Tujuan Mahathir memberi nasihat adalah supaya orang Melayu berusaha, dia tidak pernah pertikai kebolehan orang Melayu.

Intipati ungkapan “Melayu Malas” membawa maksud: kebolehan sahaja tanpa usaha tidak akan membuahkan apa-apa.

Mandat 5 tahun dikhianati

Berkenaan manifesto pula, sehingga tarikh Langkah Sheraton, PH berjaya menunaikan 60% janji mereka dan majoriti lain dalam pembikinan.

Kali terakhir Muhyiddin mengemas kini peratus janji manfesti dibawah kementeriannya pula, ia direkodkan pada kadar 63.15% pada Mei 2019.

Tidak ada syak lagi bahawa kesemua komitmen manifesto berkemungkinan besar dapat ditunaikan jika peluang menjalankan mandat penuh tidak dikhianati.

Menurut Siddiq lagi, rakyat kononnya sudah muak dengan modal kempen buruk-memburuk serta label-melabel.

Namun jelas Siddiq belum mencapai tahap mual yang sama apabila cuba memburukkan Mahathir dengan merujuk banyak kata-katanya di luar konteks.

Dan untuk mencadangkan Tun agar bersara amatlah kurang ajar serta bongkak.

Datangnya dari seseorang yang partinya banyak terhutang budi kepada pengaruh dan kebolehan Mahathir sehinggakan parti tersebut menang pilihan raya dan mampu berdiri lagi hari ini walaupun hanya berbekal sokongan tipis ahli parlimen khianat, lompat dan loncat.

Tun tidak salah, benarlah Melayu itu mudah lupa, saudara Siddiq contoh yang baik untuk membuktikannya.

Semua salah DAP

Untuk pengetahuan Siddiq lagi, dari jumlah posting dan momokkan pemimpin MN/PN saban hari yang sering menyalahkan DAP dalam semua hal, nampaknya teori dia kononnya “Rakyat sudah bosan dengan modal kempen buruk-memburuk, label melabel” adalah tidak benar.

Malah, Abah sendiri menggunakan alasan DAP bagi menghalalkan pengkhianatannya dan mendapatkan sokongan orang Melayu walaupun tidak dapat membuktikan tuduhan tersebut.

Malah tuduhan itu tidak pun diakui oleh majoriti bekas ahli-ahli kabinet sebelum ini, selain daripada yang terpaksa mengangguk kepala bersetuju dengan semua kenyataan Abah kerana khuatir kehilangan jawatan.

Kempen Slim

Di Slim, Mahathir membawa mesej agar pengundi memilih jalan bermaruah. Jangan mudah dibeli atau menyokong wakil rakyat yang tidak bermaruah.

Jika isu tempatan begitu penting, pengundi Slim pastinya tidak akan mengundi calon BN kerana terbukti yang merosakkan Felda adalah BN dan isu banjir serta ketiadaan elektrik tidak pernah selesai bawah Adun lama yang juga dari BN, sehinggalah ia disuarakan calon Bebas, Amir Khusyairi.

Prestasi calon bebas ini pula bukan sembarangan, menggunakan logo bebas, dengan jentera parti yang belum diluluskan serta berlawan dengan gergasi politik BN/PAS termasuk Bersatu (bukan parti gergasi, hanya acah-acah mahu menjadi gergasi) yang memegang kerajaan negeri serta persekutuan dan mempunyai sumber yang begitu besar, keputusan saudara Amir memberangsangkan.

Tidak hilang deposit pula. Maka benarlah kata saudara Siddiq bahawa “Setiap kerajaan termasuk kerajaan Perikatan Nasional ambil iktibar dari keputusan Slim ini”.

Suka juga saya ingatkan pada saudara Siddiq bahawa di Semenyih dan Tanjung Piai yang Bersatu kalah, Muhyiddin adalah presiden Bersatu.

Sedikit sebanyak, kegagalan parti juga adalah kegagalannya.

Adakah pihak Tan Sri hanya bijak mendatangkan penyelesaian berpandangan pendek, cetek dan tidak bermaruah hanya untuk terus kekal berkuasa?

Jika itu halnya, maka tepatlah keputusan Mahathir dan pengikutnya untuk tidak terjerumus ke kancah pengkhianatan yang sama.

Sekarang masa anak muda

Gelombang anak muda pastinya akan menghempas pantai sepertimana diperkata saudara Siddiq dalam tulisannya.

Namun, bukan pantai tua yang akan dibadai tetapi pantai para pengkhianat dan kleptokrat yang akan menemui ajal mereka baik pantai tua mahupun yang muda.

Ukuran kekuatan pantai bukan pada umurnya tapi pada asas yang membentuk alur-alurnya dan pokok-pokok yang menghias sisirnya dan akar yang menggenggam pasirnya.

Apa yang pasti, kita sandarkan harapan pada anak muda untuk berpegang pada prinsip dan mengangkat martabat serta maruah diri melebihi apa-apa yang lain.

Mereka keluar mengundi untuk PH ketika PRU14 berbekalkan pengetahuan dan keyakinan bahawa kerajaan Umno/BN kleptokrat harus dijatuhkan.

Menjelang PRU15, dengan kerjasama dari jentera pembangkang hari ini, anak muda akan diyakinkan semula bahawa PN bukan kerajaan yang Malaysia perlukan.

Kerajaan PN hanya sebuah kerajaan olok-olok yang diberi nafas melalui pemberian ghanimah perang kepada pemimpinnya.

GLC majoritinya diisi ahli politik, jumlah menteri/timbalan menteri ditambah tanpa sebab munasabah, wang dijadikan taruhan sewaktu pilihan raya.

Dan undi tidak dianggap keramat kerana kerajaan boleh bertukar dengan pengkhianatan pemimpin tidak bermoral.

Akhir kata, Abah boleh menyiarkan mesejnya sambil membaca doa setiap lima minit di kaca TV dan ruang radio bagi mengaburi mata rakyat bahawa dia pilihan terbaik.

Setakat ini, jika kita mahu mempercayai hasil kajian dan tinjauan.

Taktik ini berjaya menaikkan sokongan terhadap Abah.

Ini juga banyak dibantu Umno/PAS/MN yang tidak lagi memainkan atau mengapi-apikan sentimen perkauman melampau.

Namun, sebagaimana Najib sebelumnya, kebatilan akan tertonjol jua akhirnya untuk memberi laluan kepada kebenaran.


NIK FATHURAHMAN NIK RASLI ialah bekas ketua penerangan Armada Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.