Muhyiddin PM yang sangat lemah, kata Dr M
WAWANCARA |
Selepas Muhyiddin Yassin mengambil alih kerajaan, dia membuat perubahan struktur kerajaan yang pertama kali menyaksikan tiada jawatan timbalan perdana menteri.
Sebaliknya, Muhyiddin melantik empat "menteri kanan", yang merupakan jawatan lebih tinggi berbanding menteri lain biasa dan hanya satu tahap di bawah perdana menteri.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu melantik dua pemimpin dari partinyadan masing-masing satu dari GPS dan Umno bagi mengisi jawatan menteri kanan.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini pada Khamis lalu, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang sangat lemah.
"Dia tak berani pun pilih timbalan perdana menterinya," katanya.
Mahathir berkata, Muhyiddin juga gagal mengambil tindakan terhadap menterinya yang melanggar peraturan termasuk perintah kuarantin wajib Covid-19 kerana dia bergantung kepada Umno dan PAS bagi meneruskan kelangsungannya sebagai perdana menteri.
"Dia sangat lemah, dia bergantung pada Umno dan PAS. Kalau dia ambil tindakan terhadap Umno dan PAS, mereka akan keluar dan mereka (kerajaan) akan tumbang.
"Tetapi dia orang (Umno dan PAS) pula ada masalah, kalau dia bagi Muhyiddin tumbang dia pun tumbang juga.
"Jadi...ketika (undi) belah bahagian di Parlimen dia (Muhyiddin) dapat sokongan daripada Umno apa semua," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.
Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang akan beliau ambil sebagai perdana menteri jika anggota kabinetnya melanggar peraturan.
Ia merujuk kepada isu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Khairuddin Aman Razali yang gagal menjalani perintah kuarantin wajib salema 14 hari selepas pulang dari Turki Julai lalu.
Khairuddin dikenakan denda sebanyak RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kemudiannya memohon maaf dan berikrar untuk mendermakan gajinya sejak bulan Mac hingga Ogos kepada Tabung Covid-19.
Pihak polis juga turut merakam keterangan pemimpin PAS itu selepas menerima aduan daripada orang ramai.
Selain Khairuddin, dua timbalan menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mencetuskan kontroversi berhubung isu penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan capaian internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin dalam satu kenyataan di Dewan Negara berkata perkara itu tidak benar, dan menyifatkan Veveonah sebagai Youtuber yang cuba menarik populariti.
Veveonah dan keluarganya kemudiannya tampil menolak tuduhan itu dan menunjukkan jadual peperiksaan yang diambilnya.
Selepas sedar mendapat maklumat yang salah daripada Ahli Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri, Zahidi kemudiannya tampil memohon maaf kepada gadis berkenaan.
Ketika polemik itu, Abdul Rahim pula menimbulkan kontroversi apabila mempertahankan dakwaan bahawa Veveonah menipu, sebelum memadam kenyataannya selepas itu.
Sementara itu Mahathir berkata, Muhyiddin berada dalam situasai yang sukar ketika ini bagi memastikan kerajaannya kekal.
Jelasnya, perjuangan yang dipegang oleh Muhyiddin sebelum ini sudah tiada lagi.
"Perjuangan dulu tak kira, dia nak kira sokongan bagi dia sebab itu dia nampak kalau (Bersatu) jadi pelbagai kaum boleh dapat sokongan kaum India, daripada (Mohamed) Azmin (Ali) punya orang.
"Jadi apa saja apa yang dia lakukan adalah tentang untuk mengekalkan kedudukannya sebagai perdana menteri, bukan tentang perjuangan.
"Dia sekarang korup seperti Najib (Razak), pasal dia guna duit nak bagi jatuh kerajaan Warisan (di Sabah)," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai