Skip to main
Logo Malaysiakini

182 kes baru Covid-19, paling tinggi sejak PKPP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kes baru Covid-19 hari ini kembali meningkat kepada tiga digit iaitu 182 kes, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini merupakan jumlah kes baru tertinggi yang dilaporkan dalam satu hari sejak perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilaksanakan pada 10 Jun, melebihi rekod yang dicatat hanya tiga hari yang lalu iaitu 100 kes baru pada 8 September.

"Daripada jumlah itu 181 kes melibatkan penularan tempatan manakala satu lagi kes import.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,810 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 501 kes.

"Sebahagian besar kes melibatkan Kluster Benteng di Sabah, dengan 167 kes dan Kluster Sungai serta Telaga di Kedah, sebanyak 14 kes," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Daripada 181 kes penularan di dalam negara, 90 adalah warganegara Malaysia manakala 91 adalah bukan warganegara.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan Kluster Benteng LD di Sabah terus merebak dengan mencatatkan 167 kes baru.

"76 kes adalah warganegara di mana 70 kes adalah banduan penjara dan enam kes adalah melibatkan orang awam yang dikesan melalui saringan kontak rapat.

"Baki 91 kes lagi pula adalah bukan warganegara yang melibatkan negara Filipina (61 kes) dan Indonesia (30 kes)," katanya lagi.

Menurut Dr Noor Hisham terdapat pertambahan 11 kes bagi Kluster Sungai di Kedah pada hari ini menjadikan keseluruhan 50 kes positif kluster itu.

Katanya, tiga kes baru dikesan bagi Kluster Telaga hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 16 kes.

Jelasnya lagi, situasi semasa kluster-kluster dan kawasan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Setakat ini, pelaksanaannya berjalan lancar dan kerjasama masyarakat setempat adalah amat baik," katanya.

Sementara itu, jumlah pesakit di ICU ialah seramai sembilan orang dengan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Terdapat 14 kes yang telah pulih serta tiada pertambahan kematian menjadikannya jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu kekal 128.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.