Skip to main
Logo Malaysiakini

'Petugas kena marah, orang kampung nak jumpa ketua menteri'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN SABAH | Pelbagai cara dan persediaan dilakukan kerajaan Sabah bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negeri itu, meskipun ada kala berdepan sedikit kesukaran.

Menceritakan pengalamannya di sebuah kampung di daerah kecil Tungku di Lahad Datu, Ketua Menteri Sementara Shafie Apdal berkata petugasnya sendiri pernah dimarahi penduduk kampung kerana mahu mengehadkan jumlah peserta di acara yang dihadirinya.

Sedangkan, katanya, penduduk kampung datang beramai-ramai untuk bertemu sendiri dengannya.

“Saya pergi daerah Tungku. Saya minta supaya dikawal, jangan ramai sangat. Lepas itu datang hampir 1,000 orang.

“Saya bagitahu kenapa hampir 1,000? Dia (petugas-petugas) beritahu 'kami pun kena marah oleh penduduk kampung pasal (mereka) nak jumpa ketua menteri'.

“Saya kata tak apalah, jaga keselamatan. Kalau boleh asingkan, kita adakan (pertemuan seramai) 200 orang di satu-satu tempat. Dan saya boleh bertemu dengan mereka.

“Jangan tempatkan (semua hadirin di) satu kawasan yang boleh jejaskan kesihatan mereka,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ramah mesra di Masjid Jamek Kampung Bantayan Semporna, yang disertai kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), imam kariah, imam rawatib, dan guru besar sekolah agama negeri.

Sebelum itu, dia juga sempat menunaikan sembahyang Jumaat dan makan tengah hari di situ.

Turut bersama adalah Pengarah JHEAINS Saifulzaman @ Setibin Sangul.

Shafie membayangkan kerajaan negeri tidak memandang enteng soal keselamatan berkenaan Covid-19, terutama dengan kluster Benteng yang membabitkan dua daerah di negeri itu - Lahad Datu dan Tawau.

Katanya, kerajaan negeri telah membekalkan 10 juta pelitup muka selain pembasmi kuman untuk diedarkan ke kampung-kampung dan pusat daerah mengundi sebagai persediaan menghadapi PRN, manakala sebahagian lagi diedar ke sekolah, pasar raya dan tempat lain.

“Saya sedar ada kampung-kampung bila saya buat lawatan, (mereka adu) ‘Datuk Seri, susah kami mahu beli (pelitup muka), kedai tak ada di kampung dan daerah’.

“Jadi saya maklumkan dengan setiausaha kerajaan negeri dan juga pegawai-pegawai daerah supaya bekalkan mereka (pelitup muka).

“Ini kerana ada anak-anak mereka yang pergi sekolah. Ini untuk jaga keselamatan mereka sendiri,” katanya lagi.

Menurut Shafie, dia memantau kes Covid-19 di Sabah setiap hari serta menerima laporan berkenaan wabak itu dua kali sehari, iaitu pagi dan malam.

Katanya, sebelum ini apabila ada penularan di Tawau, dia mengadakan mesyuarat dengan ketua polis negeri, timbalan ketua polis negeri, pengarah kesihatan negeri serta para pegawai yang terlibat.

Penularan di Sabah membabitkan Kluster Benteng yang dikesan pada 1 September dari dua pendatang tanpa izin yang ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah pada 24 Ogos 2020.

Kluster itu dikesan merebak di Penjara Tawau pada awal bulan ini.

Shafie berkata penularan Covid-19 di Sabah terkawal meskipun terdapat peningkatan kes mendadak, memandangkan mereka yang terbabit dengan kluster di situ telah dikuarantin.

Setakat semalam, terdapat tiga kluster Covid-19 yang aktif iaitu Kluster Benteng LD (Lahad Datu/Tawau), Kluster Sungai (Kedah/Pulau Pinang/Perlis) dan Kluster Telaga (Kedah/Pulau Pinang).

Setakat ini, terdapat 250 kes positif - termasuk 167 yang disahkan hari ini - dengan 1,192 individu lagi masih menunggu keputusan.

Esok merupakan hari penamaan calon PRN Sabah, manakala hari mengundi dijadualkan 26 September.