Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua ketua sindiket diberkas, dadah lebih RM5 juta dirampas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Selangor tumpas dengan penahanan 17 individu dalam operasi polis di Lembah Klang pada Selasa dan Rabu lepas.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Zainudin Ahmad berkata mereka yang ditahan dalam operasi dua hari itu terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita tempatan serta dua wanita Vietnam.

Semua mereka, katanya berumur antara 28 hingga 59 tahun.

Zainudin berkata pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM5.16 juta turut dirampas dalam serbuan oleh JSJN Bukit Aman bersama anggota bahagian narkotik Kuala Lumpur dan Selangor itu.

Katanya dalam operasi pertama, polis menahan lima individu termasuk seorang ketua sindiket dan menyita pelbagai barangan serta wang tunai dengan nilai keseluruhan RM6.68 juta.

“Melalui operasi itu, polis juga berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah di sebuah rumah sewa di Damansara,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Zainudin berkata dalam operasi pertama kira-kira jam 3.30 pagi Selasa lepas, polis merampas dadah jenis ketamin seberat 43.5kg, syabu (154 gram), pil Erimin 5 (34.8 gram), pil ekstasi (1.5 gram), mushroom (11.6 gram) dan ganja (8.68 gram), bernilai RM2.25 juta dalam enam serbuan berbeza.

“Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM63,350, empat kenderaan mewah, dua utas rantai leher, tiga bentuk cincin, dua pasang subang, seutas gelang tangan dan tujuh utas jam tangan berjenama yang kesemuanya bernilai RM334,750,” katanya.

Zainudin berkata dalam operasi kedua pada jam 4.30 petang Rabu, polis menahan 12 individu termasuk seorang ketua sindiket berkenaan.

“Polis merampas serbuk dadah jenis MDMA seberat 32.72kg, syabu (1.4kg); pil ekstasi (11.4kg); pil Erimin 5 (2.9kg); ketamin (3.3kg) serta peralatan memproses dadah dalam sembilan serbuan berbeza di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata polis juga merampas wang tunai berjumlah RM393,905, mata wang asing bernilai AS$115, 14 kenderaan pelbagai jenama, lima utas jam tangan dan pelbagai barang kemas yang keseluruhannya bernilai RM1.2 juta.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 Sept ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis akan terus mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya sambil menambah pihaknya telah melakukan siasatan terhadap kedua-dua sindiket itu selama tiga minggu sebelum operasi ini dijalankan.

- Bernama