Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR kesal sekatan pada media hari ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PKR menyatakan rasa kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya membenarkan media rasmi berada dalam pusat penamaan calon bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah, hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata tindakan suruhanjaya tersebut juga disifatkan sebagai tidak demokratik dan satu kekhilafan yang melanggar semangat usaha reformasi pilihan raya.

“Ini adalah satu perkembangan yang mendukacitakan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Langkah ini tidak demokratik dan adalah satu kekhilafan yang melanggar semangat usaha reformasi pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Dalam catatan kepada media, SPR mengatakan bahawa ia adalah langkah pencegahan Covid-19.

"Media selain media rasmi kerajaan (RTM, Bernama, Jabatan Penerangan dan Finas) tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon untuk semua 73 kerusi DUN hari ini.

"Pertimbangan dan kerjasama media sangat dihargai," katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai menuntut SPR memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

“Saya pohon pihak SPR segera memberi penjelasan, serta memberi jaminan akan memberi akses kepada media di pusat penamaan calon bagi proses penjumlahan dan pengumuman keputusan PRN Sabah pada 26hb September nanti,” katanya.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu, sehari selepas bekas ketua menteri Musa Aman mendakwa dia mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Seramai 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya berkenaan dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan mengundi kali ini