Skip to main
Logo Malaysiakini

Agoes Salim - Watak penting membidankan Rukun Negara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Ketika tiba di rumahnya, Dr Agoes Salim kelihatan masih gagah melangkah. Di sebalik usianya yang lebih lapan dekad, dia berjalan tanpa perlu dipimpin atau menggunakan tongkat.

"Saya sedang bersiap, maaf kena tunggu lama," kata tokoh politik berusia 86 tahun itu.

Agoes kelihatan bersahaja ketika bersedia untuk ditemu bual. Namanya mungkin tidak dikenali ramai seperti ahli politik atau penghibur, namun dalam lipatan sejarah hidupnya, ada sumbangan besar diberikan kepada negara ini.

Untuk pengetahuan ramai, Agoes merupakan antara insan penting di sebalik setiap baris ayat yang tersusun dalam Rukun Negara.

Bagi kebanyakan kita, Rukun Negara adalah sesuatu yang lazim terutama semasa zaman persekolahan. Falsafah kebangsaan negara yang diwujudkan pada 1970 itu memang menghiasi dinding sekolah bahkan di belakang buku nota.

Tersenyum bangga ketika hal itu diceritakan, Agoes mengimbau sejarah ketika dia bersama pasukannya mendraf Rukun Negara.

Katanya, Rukun Negara dirangka bagi mewujudkan rasa perpaduan antara rakyat.

“Kita kena pastikan perpaduan ada dalam kalangan rakyat dan rakyat rasa diri diperlukan dalam negara,” katanya. 

Sebelum melanjutkan cerita, Agoes terlebih dulu memohon maaf kerana ada banyak yang sudah terluput dari ingatannya. Namun tokoh itu tetap bersemangat bercerita.

Beri sebaris dua ayat

"Ada juga kami berbincang dan berlaku salah faham beberapa kali sepanjang mesyuarat itu, tapi semua orang memainkan peranan penting.

"Pada ketika itu, saya dan pasukan menganggap tugas (merangka Rukun Negara) berkenaan memang sesuatu yang sukar dan berat, tetapi semua orang mahu melakukan yang terbaik," tambahnya.

Ketika diminta menceritakan apa isu yang menimbulkan salah faham itu, wajah Agoes kelihatan berkerut. Dia cuba mengingat kembali detik-detik itu tetapi tidak berjaya.

"Saya tidak ingat salah faham berkenaan apa. Yang saya pasti ia berkenaan satu ayat tetapi kemudian ia dibuang akhirnya kerana tidak mendapat persetujuan perdana menteri," katanya.

Untuk rekod, Rukun Negara diwujudkan kerajaan sebagai usaha menyatupadukan masyarakat selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menyaksikan berlaku ketegangan di antara kaum.

Pada ketika itu Agoes - sebagai ketua - bekerjasama dengan beberapa tokoh politik lain antaranya Ghazali Shafie, Abdullah Ayob, Zain Azraai, Khatijah Ahmad, Khoo Kay Kim, James Peter Ongkili, GK Rama Iyer dan Salleh Abas.

Allahyarham Ghazali Shafie

Kesemua mereka pada awalnya merupakan pegawai Majlis Perundingan Negara (MPN) yang dipilih perdana menteri pada ketika itu, Abdul Razak Hussein. Merekalah yang ditugaskan untuk merangka Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Rukun Negara kemudian telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-13 Malaysia oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Sultan Zainal Abidin.

Bahagian pertama macam terabai 

Selepas Rukun Negara diwartakan, Agoes melihat beberapa perubahan berlaku pada masyarakat dan situasi politik pada masa itu.

Katanya orang ramai mula hidup dengan harmoni walaupun berlainan kaum, manakala golongan muda dan kanak-kanak Cina dan India pula fasih berbahasa Melayu.

Sebarang keputusan kerajaan juga, katanya, dibuat berlandaskan Rukun Negara yan disediakan mereka.

Bagaimanapun, Agoes menyifatkan Rukun Negara pada zaman ini sudah dipinggirkan apabila rakyat dilihat mula melupakan bahagian pertama Rukun Negara.

"Kita kena tahu Rukun Negara ada bahagian satu dan bahagian dua.

"Orang hanya ingat bahagian dua yang sering kita ucapkan di sekolah," katanya mengeluh.

  • Untuk rekod, bahagian pertama Rukun Negara menggariskan objektif masyarakat pembentukan Malaysia iaitu:
  •  Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat
  •  Memelihara cara hidup demokratik
  •  Mencipta satu masyarakat yang adil agar kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama
  •  Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak
  •  Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Bahagian kedua pula adalah petikan yang sering ungkapkan orang ramai iaitu:

  •  Kepercayaan kepada Tuhan
  •  Kesetiaan kepada raja dan negara
  •  Keluhuran perlembagaan
  •  Kedaulatan undang-undang
  •  Kesopanan dan kesusilaan

Sementara itu, Agoes menambah, tiada masalah jika kerajaan ingin menyemak kembali dan meminda Rukun Negara agar ia mengikut perkembangan semasa negara.

"Berbaloi untuk lihat (Rukun Negara lama) masih relevan atau tidak. Kalau tidak semak dan ubah.

"Ini kerana perkara asas seperti ini perlu diberi perhatian agar ia boleh memberi keharmonian pada rakyat," katanya.