Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon bebas dakwa dapat restu PN untuk bertanding

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN SABAH | Penyandang DUN Inanam Kenny Chua, yang bertanding dengan tiket bebas, mendakwa dia mendapat "restu" Perikatan Nasional (PN) untuk mewakili gabungan itu, setelah Parti Bersatu Sabah (PBS) memutuskan untuk bertanding di lebih banyak kerusi daripada yang diumumkan.

"Tentulah saya akan bertanding sebagai bebas...tanpa mana-mana parti, tetapi kerana ada pertembungan antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star), saya dapat restu untuk wakili PN di Inanam buat masa ini.

"Apa yang berlaku antara PBS dan Star, nampaknya PBS mungkir janji kerana mereka tak sepatutnya letak calon di tempat Star bertanding," katanya kepada pemberita selepas ceramah kelompok di Sukang dan Mabpai.

Kira-kira 40 orang menghadiri program itu. Hampir separuh daripada mereka memakai jaket yang memaparkan "Perikatan Nasional". Chua juga memakai jaket tersebut.

Kedua-dua BN dan PBS melanggar persetujuan awal apabila meletakkan lebih calon berbanding yang diumumkan, menjadikan pertembungan mereka meningkat daripada 11 kepada 17 kerusi.

PBS yang pada mulanya berjanji bertanding di 15 kerusi akhirnya meletakkan 22 calon, termasuk di Tambunan di mana penyandangnya ialah Presiden Star Jeffrey Kitingan.


Baca: PRN Sabah 2020: Rakyat jadi penentu


BN pula yang pada mulanya bertanding di 40 kerusi akhirnya meletakkan tambahan seorang lagi calon.

"Saya fikir di saat akhir ada orang yang juga mahu jadi calon...Selepas itu, pastinya semua marah dan saya rasa PN tak gembira dengan PBS sebab Star dalam gabungan itu.

"Bukan saja mereka (PBS) langgar janji, mereka malah cabar presiden Star di Tambunan serta di kawasan BN seperti Kapayan dan Tanjung Aru," katanya lagi.

Katanya lagi, selepas apa yang terjadi, dia mendapat "restu" daripada Kitingan dan Bersatu untuk mewakili PN di Inanam.

Bagaimanapun, dia masih lagi dipaparkan sebagai calon bebas di kertas undi.

Chua, yang dahulunya pembantu menteri dalam pentadbiran Warisan, keluar PKR untuk menyokong usaha bekas ketua menteri Musa Aman untuk merampas kuasa.

Usaha itu digagalkan apabila DUN dibubarkan, membuka jalan kepada pilihan raya negeri.

[Baca berita asal]