Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya bukan pengganas, kata calon Warisan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN SABAH | Seorang calon Warisan yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah menafikan dirinya merupakan seorang pengganas.

Alias ​​Sani, yang bertanding di Dun Sekong, mengakui pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mempunyai kaitan dengan Jemaah Islamiyah, namun beliau tidak pernah menyokong keganasan.

"Saya tiba-tiba ditangkap tanpa dibicarakan kerana dikatakan memberi sumbangan untuk tujuan tidak baik. Saya ditahan tanpa bicara, hanya 'preventive act'. Saya tidak menyokong keganasan.

"Apa pun namanya, apa pun bangsanya, saya orang Islam yang cintakan perdamaian," katanya seperi dilapor Sinar Harian.

Alias ​​mengulas isu gambarnya yang tular di media sosial yang mendakwa dirinya pernah ditahan di ISA dan merupakan ahli kumpulan JI yang dikehendaki.

Menurut Alias, dia dipenjarakan selama empat tahun bermula 2003 dan sepanjang penahanan turut berdepan dengan pelbagai dugaan termasuk kehilangan kedua orang tuanya.

Bagaimanapun katanya tuduhan tersebut tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

"Saya akan buktikan saya bukan pengganas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan gelanggang bola tampar di Kampung Bokara, Batu Sapi.

Tambahnya, ramai pemimpin pernah ditahan di bawah ISA seperti Mat Sabu, Lim Kit Siang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi mereka memberi sumbangan kepada negara melalui politik.

"Itu yang saya lakukan sekarang," katanya.