Skip to main
Logo Malaysiakini

Rosmah tak pernah minta wang untuk diri sendiri - bekas pembantu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES ROSMAH | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor tidak pernah meminta wang untuk diri sendiri sebagai habuan membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Perkara itu dinyatakan bekas pembantunya, Rizal Mansor yang juga saksi pendakwaan ke-21, ketika pemeriksaan balas dengan peguam Jagjit Singh.

Jagjit: Saya tanya kamu, Rosmah tidak pernah meminta wang untuk diri sendiri?

Rizal: Setuju

Jagjit: Rosmah tidak pernah meminta wang dari (pengarah urusan) Saidi Abang Samsudin dan (rakan kongsi) Rayyan (Radzwill Abdullah)?

Rizal: Ya

Jagjit: Sah kamu menyediakan pertemuan Saidi dan Rayyan dengan Rosmah hanya untuk sumbangan politik (kepada Najib) dan tugas kamu adalah memastikan penglibatan Rosmah?

Rizal: Ya

Jagjit: Walaupun kamu melibatkan Rosmah, dia tidak pernah meminta wang pada bila-bila masa?

Rizal: Ya

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi.

Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Rizal Mansor

Ketika prosiding 18 Ogos lalu, Saidi, 60, berkata dia menawarkan sumbangan politik kepada Najib selaku perdana menteri ketika itu dan setuju untuk memberikan 15 peratus daripada nilai projek, iaitu RM187.5 juta, seperti yang dipersetujui Rizal.

Ketika itu Saidi berkata memandangkan Najib sentiasa sibuk, dia berhasrat memberikan wang itu menerusi Rosmah.

Ketika perbicaraan hari ini, Rizal menafikan bahawa dia berkonspirasi dengan pihak pendakwa raya dalam kes ini.

Jagjeet membangkitkan keterangan bercanggah Rizal sebagai saksi dalam kes ini berbanding ketika dia dituduh atas empat sabitan berkenaan projek itu sebelum ini.

"Saya cadang kamu berkonspirasi jenayah dengan pihak pendakwa raya dengan membuat perjanjian bahawa mereka menarik balik tuduhan terhadap kamu dan seterusnya kamu menjadi saksi bagi pihak mereka," kata Jagjit.

Jagjit juga mendakwa Rizal tidak menghormati mahkamah dengan memberi keterangan yang tidak jujur, merujuk kepada pengakuan tidak bersalah Rizal sebelum ini.

Dia menafikan kedua-dua dakwaan tersebut.

'Sumbangan politik punca kemewahan'

Untuk rekod, Rizal dalam keterangan saksi sebelum ini mengaku menerima RM5 juta daripada Saidi bagi pihak Rosmah.

Ia bercanggah dengan pengakuannya pada 2018 bahawa dia tidak menerima wang tersebut.

Ketika itu, dia mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM5 juta bagi pihak Rosmah.

Dia kemudian dilepaskan dan dibebaskan pada Januari 2020 selepas pihak pendakwa raya menarik balik pertuduhan terhadapnya.

Dalam pada itu, Rizal mengakui bahawa sumbangan politik adalah salah satu punca kehidupan mewahnya.

Menjawab soalan peguam bagaimana dia boleh memiliki rumah banglo bernilai RM3.5 juta dan beberapa kereta mewah sedangkan gaji bulanan hanya RM7,000 ketika bekerja dengan Rosmah, dia berkata bahawa ia adalah hasil daripada sumbangan politik.

Rizal juga mengakui berasa tidak malu menerima sumbangan politik untuk pergi ke umrah bersama keluarga.

"Tidak," katanya ketika disoal berkenaan perkara itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.