Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Siasat laporan firma China kumpul data 1,400 rakyat M'sia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pihak berkuasa diminta menyiasat terlebih dahulu laporan sebuah agensi berita antarabangsa, mengenai sebuah syarikat yang mempunyai kaitan tentera dan perisikan di China yang didakwa mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dipetik Bernama berkata, kebenaran berhubung laporan itu tidak jelas, dan siasatan perlu dilakukan sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kadang-kadang kita dengar berita banyak tidak jelas kebenarannya, jadi saya minta perkara ini disiasat dahulu.

“Data peribadi sepatutnya dilindungi, sebab kita ada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di mana data peribadi setiap individu dalam negara (rakyat Malaysia) dilindungi, jadi kalau ada kes seperti ini kita harap pihak berkuasa berkaitan siasat, lepas itu barulah kita boleh ambil tindakan,” katanya hari ini.

Beliau yang juga menteri kanan (kluster keselamatan) berkata demikian ketika diminta mengulas suatu laporan ABC News yang berpusat di Australia.

Sebuah firma China yang mempunyai hubungan dengan tentera dan rangkaian perisikan di China disebut dalam laporan itu telah mengumpulkan maklumat profil 1,400 rakyat Malaysia.

Seramai 1,400 rakyat Malaysia berkenaan adalah antara 250,000 orang yang maklumat mereka diperoleh daripada pangkalan data Zhenhua Data yang bocor, yang menyimpan maklumat 2.4 juta orang.

Laporan itu tidak menjelaskan secara terperinci maklumat yang dikumpulkan terhadap 1,400 rakyat Malaysia berkenaan.

Bagaimanapun berdasarkan data seramai 35,558 rakyat Australia yang dibocorkan, mereka merangkumi ahli politik, hakim, diplomat, wartawan dan hartawan.

Laporan itu juga menyebut bahawa Tentera Pembebasan Rakyat China dan Parti Komunis China antara pelanggan utama Zhenhua Data.