ULASAN | Menolak politik tua ke bucu gelanggang
Rata-rata belia menyambut baik cadangan ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menubuhkan parti baharu khusus untuk memperjuangkan kepentingan golongan muda.
Mengulas komen mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad bahawa parti Syed Saddiq tidak akan berjaya, ia sebenarnya terpulang kepada pengundi namun untuk mempersoalkan kemampuan pergerakan ini walaupun sebelum ia ditubuhkan adalah amat mengecewakan sekali.
Syed Saddiq sering dilabel dan dimomok sebagai ‘cucu’ pada masa lampau adalah kerana imej kebergantungan beliau kepada ayahanda Tun sebelum ini.
Namun apabila beliau cuba keluar dari bayangan Tun dengan tidak menyertai parti yang ingin ditubuhkan oleh Tun, kemampuan dan rancangan Syed Saddiq diperkecilkan.
Zaman Tun knows best sudah berakhir.
Adalah penting untuk kita terus memperjuangkan gagasan berasaskan kepentingan semua kaum di Malaysia. Kita harus meninggalkan perjuangan berasaskan sosok tubuh semata-mata, yang hanya mengagungkan pemimpin tertentu.
Inilah sindrom yang dihidapi oleh sesetengah pengikut politik yang taksub di negara ini.
Sebagai seorang negarawan ulung yang juga pernah menjadi pemuda dan pernah mendesak perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman meletak jawatan, Dr Mahathir seharusnya cakna dengan perjuangan belia alaf baharu ini yang jauh berbeza dengan zamannya sewaktu beliau menjadi pemuda.
Setelah 63 tahun merdeka, Tun masih bimbang dengan kewujudan banyak parti Melayu dan khuatir undi Melayu akan berpecah, tatkala Tun sendiri menubuhkan dua parti Melayu dalam tempoh empat tahun yang lalu.
Adakah akan wujud lagi parti baharu Melayu selepas ini sekiranya Tun tidak gembira dengan hala tuju partinya sekarang?
Idea yang dibawa oleh ahli parlimen Muar bukanlah merupakan konsep baharu kerana gagasan yang mewakili pelbagai kaum sudah lama wujud di Malaysia.
Bermula dengan konsep konsensus berasaskan perwakilan mengikut kaum acuan Parti Perikatan dan kemudiannya BN, idea gabungan ini terus melayari beberapa eksperimen hingga melahirkan parti-parti majmuk yang lain.
Namun apa yang menarik perhatian adalah perjuangan parti ini akan memfokuskan kepada kepentingan anak muda. Ia merupakan satu dinamika baharu dalam politik negara.
Sayap-sayap pemuda dalam parti-parti lain perlu mengambil peluang ini untuk sama-sama menyertai gerombolan anak muda yang pastinya satu hari nanti menguasai gelanggang ini sekaligus membawa imej baharu Malaysia yang progresif.
Belia akan terus menyokong usaha berterusan Syed Saddiq untuk memperjuangkan nasib golongan orang muda di negara ini.
Kemunculan wadah perjuangan orang muda akan menolak permainan politik tua sedikit demi sedikit hingga ke bucu gelanggang yang akhirnya menyempitkan ruang mereka untuk bergerak.
MOHAMAD SIDDIQ MOHD AZANI ialah setiausaha agung Gerakan Revolusi Anak Malaysia (G3ram).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai