Skip to main
Logo Malaysiakini

Hamzah: Pihak pertikai pendaftaran PN bimbang, terancam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pihak yang mempersoalkan pendaftaran parti sebagai terdesak dan ketandusan isu dalam menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baru bermula.

Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainuddin berkata bukan saja pendaftaran parti itu diluluskan, malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga turut meluluskan logo parti itu.

"Pihak tersebut sebenarnya bimbang dan terancam apabila melihat penerimaan baik rakyat terhadap PN kebelakangan ini.

"Selaku setiausaha agung PN, saya ingin menegaskan bahawa pendaftaran PN telah diluluska noleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 7 Ogos 2020 dan teratur mengikut Akta Pertubuhan 1966 seperti dilampirkan.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah meluluskan permohonan pendaftaran logo PN untuk digunakan sebagai lambang di atas kertas undi dan semua calon PN yang bertanding menggunakan logo PN telah diumumkan layak untuk bertanding pada hari penamaan calon 12 September 2020 lalu," katanya pada satu kenyataan, malam ini.

Hamzah turut menyertakan surat SPR yang meluluskan logo PN.

Surat berkenaan ditandatangani Setiausaha Bahagian (Perjalanan Pilihan Raya) Zakuan Abdul Halim yang antara lain memaklumkan kelulusan permohonan pengunaan logo PN.

SPR juga memaklumkan kebenaran logo berkenaan digunakan dalam mana-mana pilihan raya.

Terdahulu hari ini, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa agar PN menjelaskan mengenai status pendaftarannya.

"Seandainya PN masih belum didaftarkan secara rasmi, saya mendesak agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan semua calon-calon yang bertanding di bawah tiket PN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini selepas Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badlishah Syed Osman mendedahkan cariannya tidak menemui sebarang rekod berhubung pendaftaran gabungan itu di laman sesawang ROS.

Susulan itu ROS dalam satu kenyataan memaklumkan pendaftaran gabungan PN telah diluluskan dan berkuat kuasa pada 7 Ogos lalu, menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bagaimanapun, ROS berkata maklumat berkenaan kelulusan sesebuah pertubuhan, termasuk PN dikemaskini secara automatik setiap dua bulan.

"Kelulusan PN hanya akan tertera dalam carian umum laman sesawan ROS pada awal Oktober 2020, memandangkan ia diluluskan pada Ogos 2020," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Hamzah berkata PN akan terus memperkasakan jenteranya dalam memastikan kemenangan semua calon yang bertanding.

"...Dan yakin bahawa isu palsu yang berunsur fitnah dan berniat jahat tersebut tidak akan mempengaruhi keputusan para pengundi untuk memilih PN sebagai parti yang prihatin membela rakyat," katanya lagi