Skip to main
Logo Malaysiakini

Dana 1MDB diguna untuk beli tanah di Pulau Pinang, kata saksi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini diberitahu bahawa sebahagian daripada wang terbitan bon berjumlah AS$3 bilion oleh 1MDB pada 2013 telah digunakan untuk membeli tanah di Ayer Itam, Pulau Pinang.

Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, tanah tersebut sebagai satu inisiatif Umno berkempen bagi pilihan raya.

"Apabila Najib (Razak, tertuduh) berkempen di Pulau Pinang, dalam salah satu ceramah dia berkata bahawa tanah itu akan dibangunkan oleh 1MDB untuk membina rumah mampu milik di Ayer Itam, Pulau Pinang," kata Hazem.

Hazem tidak menjelaskan secara terperinci mengenai pengambilan tanah berkenaan. Ini dibangkitkan ketika Hazem membaca keterangan saksi setebal 110 halaman di Mahkamah Tinggi hari ini.

Semasa beberapa bahagian yang dibacanya semalam, Hazem berkata, bahawa dia diberitahu oleh Jho Low dan bekas setiausaha politik Najib, Azlin Alias bahawa 1MDB ditubuhkan untuk membantu membiayai Umno.

Pada 1 Mei 2013, Najib semasa berkempen di Pulau Pinang berkata, kerajaan pusat akan membina 9,999 rumah kos rendah atau mampu milik di negeri itu.

Katanya, 1MDB telah menandatangani perjanjian untuk membeli tanah untuk projek tersebut di Air Putih, Ayer Itam dan Paya Terubong.

Tidak banyak maklumat yang diketaui mengenai tanah Ayer Itam, selain pendedahan semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2018 bahawa 1MDB telah menjualnya kepada Silk Road Southeast Asia Real Estate Ltd (Silk Road) yang berpusat di China pada harga sekitar RM2.7 bilion pada Ogos 2017.

Hazem turut memberitahu mahkamah bahawa terbitan bon AS$3 bilion itu adalah untuk membiayai projek Syarikat Pelaburan Abu Dhabi (Admic), yang merupakan usaha sama antara 1MDB dan Aabar Investment PJS Abu Dhabi.

Setiap syarikat sepatutnya menyalurkan AS$3 bilion kepada Admic.

Dia memberi keterangan bahawa 1MDB menghantar wang itu melalui Goldman Sachs yang disalurkan kepada 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL), yang diperbadankan di Kepulauan Virgin Britain.

Kerajaan Malaysia akan menjadi penjamin bagi bon berkenaan dan menanggung semua risiko sekiranya 1MDB gagal membayar balik.

Ketika ditunjukkan dokumen yang ditandatangani di antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs, Hazem menjelaskan bahawa dokumen tersebut adalah jaminan oleh kerajaan Malaysia untuk bank tersebut meneruskan penerbitan bon.

"Ia ditandatangani oleh Najib sebagai menteri kewangan, yang mewakili kerajaan Malaysia.

"Perkara ini juga disetujui oleh pembuat keputusan 1MDB yang tertinggi, iaitu Najib, sebagai perdana menteri dan ketua lembaga penasihat.

"(Perjanjian dengan Goldman Sachs ini) dirancang oleh Jho Low dan diarahkan oleh Najib yang bersetuju dengan terbitan bon oleh 1MDB GIL," katanya.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

[Baca berita penuh]