Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas CEO 1MDB jumpa Jho Low, pegawai lain di rumah Najib

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu berkenaan satu pertemuan melibatkan Jho Low, ahli lembaga pengarah dan pegawai tinggi 1MDB di rumah Najib Razak pada 2013, berhubung strategi berkenaan audit KPMG terhadap syarikat itu.

Menurut bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, Najib turut ada dalam pertemuan tersebut.

Menurutnya, mereka yang hadir ialah:

  • Ismee Ismail (ahli lembaga pengarah)
  • Lodin Wok Kamaruddin (pengerusi)
  • Azmi Tahir (ketua pegawai akaun)
  • Yak Yew Chew (pegawai BSI Singapura)
  • Azlin Alias (ketua setiausaha sulit Najib)

Hazem berkata demikian selepas pihak pendakwaan menunjukkan salinan e-mel bertajuk "Documents for boss tonight" bertarikh 28 November 2013.

Dia berkata tujuan pertemuan itu ialah bagi membincangkan perihal KPMG yang tidak berpuas hati dengan penjelasan BSI Singapura berkenaan "pelaburan" 1MDB bernilai AS2.3 bilion dalam Brazen Sky Ltd, sebuah syarikat yang didaftarkan di British Virgin Islands.

Pada Oktober lalu, CEO 1MDB sebelum Hazem, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya berkata dia akhirnya mendapati "pelaburan" itu tidak bernilai dan ia "hanyalah sehelai kertas".

Bagaimanapun menurut Hazem, Jho Low telah memberi penerangan kepada mereka yang hadir yang aset Brazen Sky bernilai antara RM5 bilion hingga RM6 bilion.

Jho Low juga memberitahu mereka bahawa BSI adalah bank yang sah dan merupakan penjaga kepada "pelaburan" dan perincian berkenaan kegiatan Brazen Sky tidak boleh didedahkan kerana syarikat itu mempunyai pemegang taruh yang lain.

Susulan itu, kata Hazem, Najib bertanya kepada Yak bila wang dapat dicairkan, dan Yak menjawab: "Antara enam hingga sembilan bulan".

Najib dan Lodin kemudian meminta Yak untuk mencairkan dan membawa pulang wang itu ke Malaysia.

Menurut Hazem, dia tidak begitu yakin dengan penerangan Jho Low memandangkan dia tidak maklum berkenaan "pelaburan" 1MDB di luar negara.

"Kesemua alasan yang disediakan Jho Low nampak munasabah. Tetapi dia sebenarnya secara tidak langsung mengarahkan kami untuk menipu KPMG kerana saya percaya dana-dana di luar negara mungkin telah banyak digunakan untuk kepentingan Umno, seperti yang telah diberitahu kepada saya sejak pertama kali menemui Jho Low sebelum menyertai 1MDB secara rasmi.

"Jika tidak, tentunya pelaburan-pelaburan di luar negara tidak ada masalah untuk dikemukakan secara terperinci kepada KPMG," katanya dalam pernyataan bertulis.

KPMG menjadi juruaudit akaun 1MDB pada 2010, 2011 dan 2012. Firma itu digantikan dengan Deloitte untuk akaun tahun 2013.

Pada 2019, Deloitte dikenakan denda RM2.2 juta oleh Suruhanjaya Sekuriti berhubung auditnya untuk 1MDB.

Pada 2016, Yak merupakan pegawai bank pertama yang disabit bersalah dalam kes berkaitan 1MDB.

Dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pemalsuan dan dua pertuduhan gagal melaporkan kegiatan perbankan meragukan berkaitan Jho Low.

[Baca berita asal]