Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib desak CEO 1MDB pastikan juruaudit KPMG tandatangan akaun 2013

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendengar bahawa Najib Razak ketika menjadi perdana menteri telah memberi tekanan kepada Mohd Hazem Abd Rahman untuk memastikan juruaudit menandatangani akaun syarikat 1MDB pada 2013.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Hazem memberi keterangan dengan membaca pernyataan saksinya berkata, Najib menelefonnya beberapa kali untuk memastikan akaun itu ditutup.

Pada masa itu, KPMG menolak menandatangani akaun tersebut walaupun selepas juruaudit mendengar daripada Najib, pemegang saham tunggal 1MDB dalam jawatannya sebagai menteri kewangan dan pegawai syarikat.

Wakil KPMG bertemu dengan Najib di kediamannya di Kuala Lumpur pada 15 Disember 2013, mengenai akaun tersebut.

Hazem mendedahkan ini setelah pendakwa menunjukkan salinan e-mel yang dicetak bertajuk "Urgent: Briefing package for YAB PM " (taklimat untuk YAB PM).

Tujuan pertemuan itu untuk menjawab pertanyaan oleh KPMG mengenai perincian "pelaburan" 1MDB bernilai AS$2.3 bilion di Brazen Sky Ltd, yang diperbadankan di Kepulauan Virgin Britain, khususnya tentang perincian aset yang dipegang.

Menurut Hazem, perwakilan KPMG Johan Idris bertanya Najib sekiranya beliau, sebagai pemegang saham tunggal 1MDB, mengetahui mengenai "pelaburan" Brazen Sky dalam portfolio syarikat terpisahkan Bridge Global Absolute Return Fund (SPC).

Menurut Hazem, Najib menyoal mengapa KPMG curiga walaupun BSI Bank (penjaga pelaburan Brazen Sky), telah memberikan penyata akaun.

"Datuk Seri Najib juga telah menyatakan kepada Datuk Johan bahawa beliau ingin melihat KPMG menutup akaun 1MDB sebelum 31 Disember 2013, di mana Datuk Johan tidak memberi sebarang jawapan kepada apa yang di katakan oleh Datuk Seri Najib," kata Hazem.

Nota editor: Atas nasihat guaman, artikel ini menutup ruangan ulasan.

[Baca berita asal]