Skip to main
Logo Malaysiakini

12,885 penduduk di kawasan PKPD Kota Setar telah disaring

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Kesihatan Kedah telah menjalankan saringan COVID-19 ke atas 12,885 penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Kota Setar setakat semalam.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata mereka yang disaring merupakan kontak rapat kepada kes positif dan dikenal pasti berisiko tinggi dijangkiti wabak itu.

"Dianggarkan 15,000 hingga 20,000 penduduk di daerah ini akan disaring dalam tempoh PKPD ini dan sekiranya ada kes positif baharu, saringan akan diteruskan.

"Keputusan saringan ini akan diketahui dalam tempoh 72 jam dan penduduk yang didapati positif akan dihubungi oleh Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar dan akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu turut menasihati masyarakat agar melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dalam memerangi penularan wabak, khususnya menerusi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kebanyakan kes jangkitan COVID-19 berlaku akibat kelalaian masyarakat mengenai amalan normal baharu yang disarankan, jadi semua perlu patuh dengan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai COVID-19 boleh merujuk kepada Bilik Gerakan PKD Kota Setar dengan menghubungi talian 019-4053711.

-Bernama