Malaysia dibidankan dari bara api
ULASAN | Lima puluh tujuh tahun yang lalu, ketika era kolonialisme mulai pudar dan cengkamannya pula satu per satu dileraikan, beberapa watan telah mengambil keputusan yang bersejarah untuk mencipta negara persekutuan yang baharu.
Makanya Brunei, Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu telah mengikat janji untuk berada di bawah naungan suatu negara yang kita kasihi dan kenali sebagai Malaysia.
Meminjam istilah Benedict Anderson, Malaysia merupakan suatu ‘imagined community’ yang baharu, yang segar, yang meraikan kepelbagaian dan yang gagah—yang disebut sebagai “Mighty Malaysia” oleh Tunku Abdul Rahman dua tahun lebih awal di Hotel Adelphi, Singapura.
Pada tanggal 16 September lahirlah sebuah negara persekutuan yang dipanggil Malaysia disaksikan lebih 30,000 orang di Stadium Merdeka. Malaysia bersilat menempuhi Perang Dingin dan permainan geopolitik di London, Moscow, Beijing dan Washington.
Ternyata Malaysia dibidankan daripada bara api. Hanya beberapa tahun mengecapi kemerdekaan, penubuhan Malaysia mendapat tentangan kuat Soekarno, Diosdado Macapagal serta A.M Azahari sehingga terbatalnya kerjasama MAPHILINDO dan terkeluarnya Brunei daripada rancangan besar tersebut.
Negara kita yang baru bertatih saat itu harus mempertahankan kedaulatannya daripada serangan Indonesia menerusi kempen ‘Ganyang Malaysia’ yang hanya berakhir pada Ogos 1966.
Hari ini, rata-rata negara yang disebutkan telahpun secara aman bersatu di bawah platform Asean. Lanskap geopolitik juga telah berubah, dengan China serta rencana One Belt One Road sedang berhadapan Perang Perdagangan Dunia Amerika.
Banyak tindak balas berlaku antara kedua-duanya serta negara yang berkiblatkan mereka, daripada urusan imigresen kepada pemilikan saham syarikat seperti yang terlihat dalam kes aplikasi TikTok.
Dan yang terkini, wabak pandemik Covid-19 telah merebak dan sekali lagi tatanan dunia berada dalam keadaan tidak menentu.
Kita sebagai rakyat Malaysia boleh mendabik dada bahawa kita berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding jiran tetangga yang lain. Cara pengurusan wabak kita telah diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan menjadi bualan banyak negara.
Atau secara mudahnya, kita kini “standing in the eyes of the world”, meminjam bait lagu Ella yang popular sewaktu Sukan Komanwel 1998 dahulu.
Marilah kita berdoa mengharapkan yang terbaik buat negara-negara jiran yang masing-masing bergelut menguruskan perebakan wabak yang mengganas ini. Semoga kita sama- sama dapat bangkit lebih kuat daripada saki-baki virus ini.
Kerjasama dan keprihatinan sesama negara malahan sesama insan harus kita tekankan dalam menjaga serta memelihara kerencaman budaya dan fahaman di Malaysia. For there is no place like Malaysia.
Ungkapan ini bukan sekadar klise tetapi harus kita dalami sebagai kekuatan kita bersama kerana kerencaman dan kepelbagaian bukanlah suatu hal yang memecahbelahkan tetapi sewajarnya menyatukan kita.
Itulah resipi kekuatan Selangor. Negeri bunga rampai atau melting pot ini mendapat manfaat limpahan yang besar daripada kebijaksanaan dan kemahiran warganya yang berasal sejauh Perlis hingga ke Sabah.
Baik dari segi budaya, agama, latar belakang ekonomi mahupun fahaman politik, cogan kata Malaysia yakni "bersekutu bertambah mutu" ternyata benar lagi penting serta menjadi pegangan untuk menguatkan hubungan antara kita semua, bersekali dengan Rukun Negara yang kita ikrarkan buat sekian kalinya.
Tulisan ini adalah kenangan kepada pengorbanan semua pihak, daripada para leluhur yang mengangkat senjata bagi melakar masa depan yang lebih baik kepada anak-cucu serta kita semua yang sama-sama bingkas lagi bertungkus-lumus untuk mengisi kemerdekaan yang terbina dengan membangunkan ekonomi dan mempertahankan kedaulatannya sama ada sempadan wilayah mahupun kedaulatan bentuk baharu seperti kedaulatan digital dan kedaulatan bekalan makanan.
Selamat menyambut Hari Malaysia!
AMIRUDIN SHARI ialah menteri besar Selangor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai